Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"
Showing posts with label Hari Kadet Polis. Show all posts
Showing posts with label Hari Kadet Polis. Show all posts

Friday, April 27, 2012

LAPORAN AKHBAR SINAR HARIAN MENGENAI PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS PONTIAN KE-42 2012

KADET POLIS MAMPU DISIPLINKAN PELAJAR 

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012


PONTIAN – Penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti kadet polis di peringkat sekolah bukan sahaja dapat mendisiplinkan mereka, tetapi turut membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim berkata, pengisian aktiviti kadet polis yang menitikberatkan soal disiplin dalam setiap aspek sangat bermanfaat kepada pelajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dilatih berkawad, tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna untuk pembentukan sahsiah dan peribadi.

“Pengetahuan yang diberikan juga banyak memupuk minat pelajar untuk menyertai pa­­sukan polis sebagai kerjaya mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pe­ringatan Hari Kor Kadet Polis ke-42 Peringkat Daerah Pontian di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keahlian pelajar di dalam unit beruniform di sekolah-sekolah menengah di daerah ini juga menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

“Mereka sudah mula menunjukkan minat untuk sama-sama menyertai kadet polis di sekolah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu 13 kadet polis menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan Kor dan empat sekolah menerima anugerah Kor Kadet Polis Daerah Pontian.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Maahad Pontian, Sekolah Tinggi Pei Chun, dan Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

Sementara itu bagi Siti Najiha Jamaludin, 17, dari SMK Sri Tanjung penglibatannya dalam pasukan kadet polis sekolah telah bermula sejak tingkatan satu lagi.

Katanya, impian untuk menjadi anggota polis apabila sudah tamat sekolah kelak membuatkannya begitu berminat untuk menyertai kadet polis di sekolahnya.

“Latihan yang diadakan amat membantu mendisiplinkan saya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis,” katanya.

Saturday, April 21, 2012

SAMBUTAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS KE-42 DAERAH PONTIAN

Pagi ini bertempat di Dataran Datuk Jalok, Benut, Pontian diadakan Perbarisan Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke-42 Daerah Pontian. Majlis disempurnakan oleh DSP Wan Razani Wan Iberahim, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian. Turut hadir ialah Tn. Hj. Msduki  b Hj. Shahri, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, pengetua-pengetua dan GPK Kokurikulum sekolah menengah di Pontian serta para jemputan.

Perbarisan dimulai dengan Kawalan Kehormatan masuk baris. Barisan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 33 ahli Kadet Polis dari SMK Sri Tanjung yang dipimpin oleh Pegawai Baris Insp. KP Mohd Azli b Senawi dan diketuai oleh Sjn KP Amiratul Nadhira bt Mahdi. Di belakangnya adalah detachment yang terdiri daripada ahli-ahli Kadet Polis dari semua sekolah menengah di daerah Pontian.

Perutusan Ketua Polis Negara telah dibacakan oleh  DSP Wan Razani Wan Iberahim, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian. Turut berucap ialah Tn. Hj. Msduki  b Hj. Shahri, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.

DSP Wan Razani Wan Iberahim turut menyampaikan sijil-sijil kecemerlangan dan penghargaan kepada guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis manakala  Tn. Hj. Msduki  b Hj. Shahri menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada jurulatih-jurulatih PDRM IPD Pontian. ASP KP Hasan Kasmuri pula menyampaikan cerderahati daripada Kor Kadet Polis kepada Ketua Polis Daerah Pontian, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian dan Pengetua SMK Sri Tanjung selaku penganjur perbarisan.

Selepas tamat perbarisan, pasukan T-batton dari IPK Johor menunjukkan kehebatan dan ketangkasan mereka  dengan gerakan-gerakan menggunakan T-batton. Sungguh mengagumkan dan menghiburkan...Di satu sudut, diadakan pula pameran daripada PDRM dan AADK.

Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pada tahun ini.  Selamat menyambut Peringatan Hari Kadet Polis Ke-42.




































PAGI SEBELUM BERMULANYA PERBARISAN PERINGATAN HARI KADET POLIS...

Pagi ini adalah pagi yang dinantikan oleh ahli-ahli Kadet Polis iaitu akan berlangsung Perbarisan Peringatan Hari Kor Kadet Polis Tahun 2012. Persediaan rapi dibuat oleh tuan rumah iaitu SMK Sri Tanjung dengan dibantu oleh pasukan daripada IPD Pontian. Awal pagi tadi hujan lebat di kawasan Dataran Datuk Jalok, Benut, Pontian, venue berlangsungnya perbarisan. Kerja-kerja persediaan berjalan lancar...







Tuesday, April 17, 2012

PERSEDIAAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS

Pasukan Kadet Polis SMK Sri Tanjung yang yang diberi tanggungjawab sebagai Pasukan Kawalan Kehormatan dalam perbarisan Peringatan Hari Kor Kadet Polis, giat menjalani latihan. Latihan asas diadakan di IPD Pontian manakala latihan raptai di adakan di Dataran Benut. Semoga pasukan ini berjaya menunaikan tanggungjawab yang diberi. Buat julung kalinya, perbarisan ini akan diadakan di luar kawasan sekolah iaitu di Dataran Benut pada pagi Sabtu 21 April 2012.









Monday, April 25, 2011

LAPORAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA MENGENAI PERHIMPUNAN HARI KOR KADET POLIS KE-41 DAERAH PONTIAN

Utusan Malaysia, 25 April 2011

Kadet Polis kurangkan masalah disiplin

PONTIAN 24 April - Penubuhan Kor Kadet Polis di sekolah-sekolah menengah banyak membantu mengurangkan masalah dalam kalangan pelajar ketika ini.


Othman Sulaiman memeriksa kawalan kehormat sempena
Sambutan Peringatan Kor Kadet Polis di Pontian,
baru-baru ini.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Asisten Supritendan Othman Sulaiman berkata, peningkatan jumlah penyertaan pelajar dalam menyertai kor ini juga menunjukkan mereka kini faham akan faedahnya.

Menurut beliau, Kor Kadet Polis mampu mengurangkan masalah disiplin pelajar selain menjadi asas kepada mereka untuk melangkah lebih jauh menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dalam usaha mengatasi masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar, kerjasama antara pihak PDRM dan sekolah amat penting supaya tiada gejala yang tidak diingini berlaku. Peningkatan penyertaan juga membuktikan hasrat Kementerian Pelajaran bagi menggalakkan lebih ramai pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum tercapai," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke-41 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Othman menyampaikan Anugerah Kor Kadet Polis Terbaik tahun 2011 kepada SMK Telok Kerang, SMK Dato' Ali Haji Ahmad, Sekolah Mahaad Pontian dan Sekolah Tinggi Pei Chun.

Beliau turut menyampaikan anugerah kepada tiga pelajar yang dipilih sebagai Ahli Kor Kadet Polis Terbaik di atas penglibatan mereka dalam pasukan tersebut.

Friday, April 22, 2011

KASIHANNYA....

Dari Berita Harian, 22 April 2011
 
SEORANG anggota Kor Kadet Polis (KKP) yang menyertai Perbarisan Hari KKP Ke-41
di Astaka, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam, diusung pegawai polis
selepas pengsan kerana tidak dapat menahan cuaca panas. Acara itu yang dirasmikan
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah adalah sebahagian daripada program
dianjurkan sempena Hari Polis Ke-204. Lebih 200 anggota KKP dari sekolah menengah
sekitar ibu negara menyertai acara itu. - Foto Aizuddin Saad


Komen kami:  Salah satu kriteria pemilihan ahli kawalan kehormatan semasa perbarisan peringatan hari kor kadet polis ialah seseorang ahli kadet polis itu mestilah betul-betul  sihat dari segi emosi, mental dan fizikal. Berdiri tegak dan diam selama lebih kurang 2 jam memerlukan seseorang itu mempunyai ketahanan fizikal yang kuat.

Thursday, April 21, 2011

TEKS UCAPAN PEGAWAI PELAJARAN DAERAH PONTIAN SEMPENA PERBARISAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS KE-41 DAERAH PONTIAN TAHUN 2011

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.


En. Ab. Rahim Bin Lamin
Pegawai Pelajaran Daerah Pontian
  Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana pada petang ini dengan limpah restuNya kita dapat bersama-sama berhimpun di Perhimpunan Peringatan Kor Kadet Polis yang ke 41 Daerah Pontian Tahun 2011.


Pasukan Kor Kadet Polis Pontian dengan kekuatan 39 platun berdaftar daripada 18 buah sekolah menengah di daerah Pontian adalah sebahagian murid-murid yang menyertai unit beruniform di sekolah. Penubuhannya adalah sebahagian daripada kegiatan kokurikulum yang digalakkan di sekolah. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid bergiat dalam pasukan dan mendisiplinkan ahli-ahli melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti yang terancang bagi melahirkan generasi yang terbilang. Bilangan pelajar-pelajar sekolah yang masuk menjadi ahli Pasukan Kor kadet Polis semakin meningkat saban tahun.

Dengan perkembangan pendidikan yang semakin menjadi fokus masyarakat, kita harus bersedia dari egenap segi bagi menyediakan murid-murid menjadi insan madani yang terpuji. Untuk itu saya percaya dengan menjadi ahli pasukan kadet polis ini gejala-gejala sosial yang boleh mengganggu arah tujuan pendidikan dapat dielakkan. Gejala kurang sihat ini jika tidak dikekang dan dibendung tentunya boleh merebak dan membesar. Salah satu cara untuk mengekang gejala kurang sihat ini ialah dengan menganggotai mana-mana unit beruniform contohnya dengan masuk menjadi ahli Pasukan Kor Kadet Polis. Dalam pasukan ini anda tentunya dilatih dan digerakkan dengan kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian seperti latihan kawad, berkhemah, kerja khidmat masyarakat, berorganisasi dalam pasukan, dan lain-lain. Kegiatan dan aktiviti seperti ini diyakini dapat menjadikan anda seorang ahli Kor Kadet Polis atau individu pelajar yang bertanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara.

Para hadirin dan anak-anak Kor Kadet Polis,

Dari atas pentas ini saya melihat betapa segak dan gagah anda semua anak-anak Kor Kadet Polis. Dengan berpakaian uniform penuh sebegini rupa, anda semua seolah-olah anggota Polis Diraja Malaysia. Sesungguhnya saya berbangga dengan apa yang saya lihat pada petang ini. Kecemerlangan pada petang ini adalah lebih bermakna apabila ia selari dengan kecemerlangan akademik anda. Ketajaman tumpuan anda mendengar dan menerima kata perintah daripada pegawai baris, boleh anda gunakan untuk memberi tumpuan jitu kepada guru yang sedang mengajar. Dari[ada disiplin tinggi yang anda tunjukkan semasa anda berbaris pada petang ini, keadaan yang sama juga boleh anda gunakan semasa hadir dan mengikuti pelajaran di sekolah. Pindahkanlah dan gunakanlah kemahiran dan pengalaman anda dalam Pasukan Kor Kadet Polis ini kepada kecemerlangan pencapaian akademik anda. Kami amat berbangga jika anda menguasai kedua-dua bidang ini iaitu kurikulum dan kokurikulum. Saya yakin anda semua boleh melakukannya.

Dalam Pasukan Kor Kadet Polis anda dikatakan sebagai ‘mata dan telinga’ Polis Diraja Malaysia di sekolah. Apa yang boleh anda lakukan ialah kenal pasti rakan-rakan di sekeliling anda yang menghadapi masalah. Jadilah rakan yang membawa kepada kebaikan. Jadilah rakan yang boleh diharapkan oleh rakan yang lain. Bantulah rakan-rakan yang menghadapi masalah. Beritahu dan laporkan kepada guru-guru jika ada rakan-rakan yang bermasalah. Membendung dan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati atau menghukum. Sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM anda boleh melakukannya di peringkat sekolah.

Para hadirin dan anak-anak Pasukan Kor Kadet Polis,

Harapan saya kepada anak-anak Kor Kadet Polis, teruskan usaha anda untuk menyelogkar dan meneroka alam kerjaya Polis Diraja Malaysia. Tentunya ada sesuatu yang menyeronokan dalam PDRM yang menyebabkan anak-anak Kadet Polis menyertai Pasukan Kor Kadet Polis. Terokalah bidang-bidang dalam ilmu kepolisan untuk digunakan khasnya kepada diri sendiri dan juga masyarakat. Binalah kekuatan jati diri dan jadilah seseorang yang berdisiplin tinggi dalam menjalani kehidupan sehari-hari sebagai murid sekolah melalui aktiviti sihat dalam unit uniform kadet polis ini.

Kepada guru-guru Pasukan Kor Kadet Polis di sekolah, bimbing dan bantulah dengan apa cara sekalipun anak-anak Kor Kadet Polis ini agar penyertaan mereka dalam pasukan ini menjadi lebih bermakna untuk membina kehidupan mereka. Berilah mereka peluang seluas-luasnya untuk menyertai apa jua kegiatan dan aktiviti yang dijalankan.

Harapan saya kepada jurulatih PDRM, latihlah anak-anak Kor Kadet Polis dengan penuh semangat. Pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian akan senantiasa memberi kerjasama yang sewajarnya. Marilah kita bersama-sama membina generasi yang terbilang dan seimbang dari segenap segi. Saya harap anak-anak Pasukan Kor Kadet Polis adalah lain daripada yang lain dalam unit beruniform dan teruskan keunggulan anda.

Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Pontian dan Ibupejabat Polis Daerah Pontian atas kerjasama dan sokongan bagi menjayakan program dan aktiviti yang dijalankan oleh Kor Kadet Polis. Terima kasih saya ucapkan kepada Pengetua SMK Telok Kerang, guru-guru Kor Kadet Polis Daerah Pontian, ibu bapa, dan ahli-ahli Kor Kadet Polis.

Selamat Menyambut Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke-41 Daerah Pontian Tahun 2011.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

En. Ab. Rahim Bin Lamin,
Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.
Bertarikh: 20 April 2011