Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Sunday, December 5, 2010

4 NEGERI DAPAT KETUA POLIS BARU

Utusan Malaysia, 3 Disember 2010

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengumumkan baki penstrukturan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan pelantikan empat ketua polis negeri dan kenaikan pangkat bagi 13 pegawai kanan dari pelbagai jabatan. Menurut beliau, pengumuman pelantikan itu merupakan susulan daripada penstrukturan yang dibuat pada 29 Oktober lalu.

Katanya, jawatan Ketua Polis Perak akan diisi oleh Datuk Mohd. Shukri Dahalan yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Terengganu manakala Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Datuk Jamshah Mustapa dinaikkan pangkat mengetuai kontinjen Terengganu.

Tambahnya, Komander Unit Udara PDRM, Datuk Chuah Ghee Lye dilantik Ketua Polis Melaka manakala Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md. Isa dilantik sebagai Ketua Polis Perlis.

Bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman manakala bekas Komander Briged Sarawak PGA dilantik sebagai timbalan Pesuruhjaya Polis negeri sama.

Katanya, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Fatimah Ghazali dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dan Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Abdul Rahim Jaafar dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

Menurut Ismail, Ketua JSJ Kontinjen Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mazlan Lazim dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis negeri itu dan Ketua JSJ Melaka, SAC Mohd. Adnan Abdullah dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor.

“Kesemua pelantikan dibuat ini hasil Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pucuk pimpinan tertinggi PDRM petang ini. Kesemua pegawai dilantik adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk menjawat jawatan berkenaan dan saya berharap mereka akan melakukan yang terbaik dalam tugas masing-masing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail memberitahu, pangkat Ketua JSJ Pahang, T. Narenasagaran iaitu Asisten Komisioner (ACP) dinaikkan kepada SAC. Beliau berkata, dalam mesyuarat itu juga pucuk pimpinan PDRM turut membincangkan langkah-langkah bagi memperkemaskan prosedur dan memperlihatkan ketelusan dalam urusan tatatertib dan disiplin di kalangan anggota dan pegawai. Jelasnya, usaha itu penting bagi mengambil tindakan tegas terhadap anggota dan pegawai yang melakukan salah laku dan menyalahgunakan kuasa.

Wednesday, November 24, 2010

POLIS DILENGKAPI TEKNOLOGI TERKINI ATASI JENAYAH RENTAS SEMPADAN

Utusan Malaysia, 24 November 2010

Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperlengkapkan dengan ilmu dan teknologi terkini bagi menangani jenayah merentasi sempadan yang semakin meningkat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, polis perlu mengetahui perkembangan terkini dan mengikut peredaran zaman kerana jenayah dan penjenayah masa kini semakin canggih.

Katanya, jenayah yang merentasi sempadan seperti keganasan, penyeludupan manusia, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, jenayah komersial dan perjudian menerusi internet berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

"Teknologi sekarang semakin canggih. Ia semakin meningkat bukan hanya di negara kira, bukan hanya di rantau ini tetapi di seluruh dunia. Kita tak boleh toleh belakang. Kita kena bekerjasama dengan agensi-agensi (penguatkuasaan) dari negara lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff.

Tuesday, November 23, 2010

PEPERIKSAAN SPM BERMULA HARI INI

Hari ini bermulalah peperiksaan SPM tahun ini. Inilah harinya dimana calon-calon SPM menterjemahkan apa yang dipelajari di bilik darjah di atas kertas jawapan. Tentunya pelajar-pelajar dah diasak dengan strategi cara menulis jawapan yang betul dan tepat.

Kami doakan ahli-ahli Kadet Polis daerah Pontian yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini berjaya dengan cemerlang. InsyaAllah anda semua berjaya.

Saturday, November 20, 2010

CUTI SEKOLAH DAH MULA

Mulai hari ini bermulalah cuti sekolah yang panjang di hujung tahun. Tentunya ahli-ahli Kadet Polis gembira dengan kedatangan cuti ini. Bercutilah.  Diharap dengan bercuti ini ia akan dapat meredakan ketegangan sepanjang menempuh hari-hari bersekolah yang dipenuhi dengan aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Gunakanlah hari-hari cuti sebegini dengan aktiviti yang berfaedah. Rancanglah pengisian percutian bersama keluarga dan rakan-rakan supaya percutian ini penuh bermakna dan tidak membosankan. Jaga keselamatan diri. Jangan lupa solat. Jadilah rakan masjid.

Kami ucapkan selamat bercuti.

Wednesday, November 17, 2010

Wednesday, October 20, 2010

PANDUAN PENCEGAHAN JENAYAH: ROMPAK DAN SAMUN

ROMPAKAN DI RUMAH

  • Pastikan pintu pagar atau pintu utama dikunci sepanjang masa.
  • Jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
  • Kenal pasti pelawat melalui 'door viewer' dan pastikan rantai kunci pintu berkunci apabila bercakap dengan pelawat yang tidak dikenali.
  • Maklumkan kepada ahli keluarga terlebih dahulu jika anda menyuruh kawan atau seseorang ke rumah anda.

ROMPAKAN DI TEMPAT AWAM


  • Berwaspada apabila ada orang yang tidak dikenali mengekori anda atau yang berpeleseran di kawasan lif.
  • Elakkan dari menaiki lif dengan orang yang mencurigakan.
  • Aturkan seseorang untuk menemani anda pulang ke rumah.
  • Apabila anda dalam lif, sentiasa berdiri berdekatan dengan panel kawalan lif. Ini membolehkan anda mengawal lif jika berlaku perkara yang tidak diingini.
  • Elakkan dari memakai barang kemas atau membawa wang tunai yang banyak.
  • Rancang perjalanan anda dan elakkan dari melalui tempat gelap atau sunyi.
  • Berhati-hati dengan orang yang mencurigakan yang sentiasa berpeleseran di lif, tangga, kaki lima dan di kawasan awam.
  • Bawa alat penggera bersama anda dan gunakan ia untuk mencegah perompak atau untuk menarik perhatian orang yang berdekatan.

APA PERLU DILAKUKAN APABILA ANDA DIROMPAK.


  • Anda perlu bertenang.
  • Jangan bertindak jika perompak berkenaan mempunyai senjata.
  • Perhatikan gerak-geri perompak seperti perwatakan, air muka, pakaian, tingkah laku pergerakan dan keterangan fizikal yang lain. Ia boleh membantu polis untuk mengesan perompak berkenaan.
  • Perhatikan juga ke mana arah dan cara perompak itu melarikan diri. Jika ia menggunakan kenderaan, rekodkan nombor pendaftaran, warna kenderaan, dan jenis kenderaan. Pastikan juga ke arah mana ia pergi.
  • Hubungi polis di nombor 999 atau hubungi Balai Polis berdekatan dengan segera.

Friday, September 17, 2010

16 SEPTEMBER HARI MALAYSIA

NAJIB menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia sambil disaksikan (dari kanan) Alfred Jabu, Musa Aman, Rais dan Masidi Manjun (kiri) pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam tadi. (Foto: Berita Harian 17 September 2010)

Hari Khamis 16 September 2010 adalah Hari Malaysia. Sambutan Hari Malaysia diadakan pada tahun ini bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah. Padang Merdeka memiliki sejarah tersendiri kerana ia adalah lokasi pengisytiharan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama Malaya serta Singapura membentuk negara baru. Singapura bagaimanapun mengambil keputusan keluar dari Malaysia dua tahun selepas itu. Jika 31 Ogos adalah tarikh Malaysia merdeka, 16 September adalah tarikh penyatuan dan kesatuan Malaysia untuk menjadi sebuah negara lebih besar. Pengisytiharan 47 tahun lalu dilakukan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen, manakala Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, turut hadir sebagai wakil Kerajaan Pusat. Mulai tahun ini, Hari Malaysia diisytihar cuti umum seluruh negara tanda pengiktirafan kerajaan sebagai hari kebesaran negara.

Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963
(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah.

Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu.

Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini 1 Syawal adalah Hari Raya Raya Aidilfitri. Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis Daerah Pntian, anggota PDRM Ibupejabat Polis Daerah Pontian dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Thursday, September 9, 2010

MAJLIS SERAH DAN TERIMA TUGAS JAWATAN KETUA POLIS NEGARA

Berita Harian, 9 September 2010

Tan Sri Musa Hasan (kiri) menyerahkan dokumen kepada Tan Sri Ismail Omar sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam (dua dari kiri) pada Majlis Serah dan Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, semalam.

Tan Sri Musa, 58, akan menamatkan perkhidmatannya selama 41 tahun bersama PDRM Ahad ini, selepas kerajaan memutuskan tidak menyambung kontrak perkhidmatannya yang sebelum ini dilanjutkan selama dua kali.

Difahamkan, beliau selepas ini akan memantau projek pembinaan Akademi Latihan Antarabangsa Langkawi (LITA), yang mengkhusus kepada latihan dalam bidang anti perdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pelbagai jenayah rentas sempadan lain.

Musa turut menasihatkan Ismail supaya bersedia menerima sebarang kritikan dan mengendalikannya dengan bijak tanpa menjejaskan integriti PDRM, selain tidak mudah tunduk atau menjadi `pak turut’ dalam melaksanakan tugas.

“Diharap semua agenda yang dirancang dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM sebelum ini diteruskan, ke arah usaha penambah baikan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan setiap pegawai dan anggota, terutama dalam memerangi jenayah, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat di negara ini,” katanya.


Friday, September 3, 2010

TAN SRI ISMAIL OMAR DILANTIK SEBAGAI KETUA POLIS NEGARA BERMULA 13 SEPTEMBER 2010

Harian Metro, 2 September 2010


PUTRAJAYA: Selepas 41 tahun menaburkan jasa dalam kerjaya kepolisan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, 59, bakal bergelar rakyat biasa pada 13 September ini apabila kontraknya tamat sehari sebelum itu dan jawatannya bakal disandang oleh Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Penamatan kontrak Musa dan pelantikan Ismail, 56, diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop di samping Musa dan Ismail.

Pada sidang media itu juga, Hishammuddin turut mengumumkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail bakal mengambil alih jawatan Ismail sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

“Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara adalah jawatan khas mengikut Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, cadangan lantikan ke jawatan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Tan Sri Musa selama 41 tahun dalam pasukan polis,” katanya.

Ketika ditanya tarikh pertemuan di antara Najib dan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenaan baginda berkaitan pelantikan Ketua Polis Negara yang baru, Hishammuddin berkata, perkara itu terserah kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, bila pertemuan itu akan diadakan tidak penting kerana pelantikan hanya akan berkuatkuasa selepas 12 September ini.

Mengulas penamatan kontrak Musa, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Musa akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya kepada negara khususnya untuk menerajui penubuhan Akademi Latihan bertaraf antara bangsa di Langkawi. Penubuhan akademi ini bertujuan menangani jenayah merentasi sempadan seperti jenayah siber, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram, anti pengganas, pengurusan krisis dan risiko.

Wednesday, August 18, 2010

PANGKAT-PANGKAT POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)

Polis Diraja Malaysia mempunyai 16 peringkat pangkat yang dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.

Kumpulan Pegawai Kanan Polis terbahagi kepada 2 kelompok di mana pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis ke atas diklasifikasikan sebagai Pegawai Polis Diwartakan manakala Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan Cif Inspektor pula dikenali sebagai Pegawai Polis Tidak Diwartakan. Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu Kumpulan Komisioner (ACP - IGP), Kumpulan Superintendan (ASP - SUPT) dan Kumpulan Inspektor (INSP - C/INSP).

Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor. Pangkat Korperal sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Subordinat.

Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-
Pegawai Kanan Polis
  1. Inspektor General Polis (IG)
  2. Deputi Inspektor General Polis (DIG)
  3. Komissioner Polis (CP)
  4. Deputi Komisioner Polis (DCP)
  5. Senior Asistan Komisioner I (SAC I)
  6. Senior Asistan Komisioner II (SAC II)
  7. Asistan Komisioner Polis (ACP)
  8. Superintendan Polis (SUPT.)
  9. Deputi Superintendan Polis (DSP)
  10. Asistan Superintendan Polis (ASP)
  11. Cif Inspektor (C/INSP)
  12. Inspektor (INSP)
  13. Inspektor Percubaan (P/I)

Pegawai Rendah Polis
  1. Sub-Inspektor (SI)
  2. Sarjan Mejar (SM)
  3. Sarjan (SJN)
  4. Koperal (KPL)
  5. Lans Koperal (L/KPL)
  6. Konstabel (KONST)


Saturday, August 14, 2010

PANDUAN PENCEGAHAN JENAYAH: RAGUT DAN PENYELUK SAKU

RAGUT DAN SELUK SAKU

Di manakah peragut dan penyeluk saku bertindak:
  • Peragut sering bertindak di jalan atau lorong yang gelap atau sunyi.
  • Lazimnya peragut menggunakan kenderaan seperti motorsikal atau kereta untuk melakukan kegiatan mereka.


Bagaimana ia boleh belaku:

  • Memakai barang-barang kemas yang sangat ketara dan mendedahkannya untuk tontonan orang ramai.
  • Membawa beg tangan dengan cara memudahkan peragut meragut.
  • Berebut-rebut semasa menaiki bas atau berada di tempat-tempat sibuk dan sesak.
  • Meninggalkan beg-beg yang berisi wang di kaunter pintu masuk pusat membeli-belah semasa masuk membeli-belah.
  • Menyimpan beg duit di kocek-kocek belakang yang tidak berbutang.


Langkah-langkah keselamatan dari ragut:

  • Sentiasa membawa wang secara minima.
  • Selindung wang daripada pandangan umum supaya tidak menarik perhatian penjenayah.
  • Sentiasa membimbit atau mengepit beg tangan dan tidak disangkut atau disandang pada baju supaya ia lebih sukar diragut dan jika diragut boleh mengelak dari berlaku kecederaan kerana diseret.
  • Elakkan dari berjalan seorang diri di tempat-tempat sunyi atau semasa menaiki lif.
  • Jangan mendedahkan barang-barang kemas yang dipakai.
  • Ketika berjalan di atas jalanraya, sentiasa berjalan secara bertentangan dengan arus lalulintas supaya dapat melihat apa jua kenderaan yang datang dari arah hadapan. Beg tangan pula dikepit atau dibimbit dengan tangan kanan.
  • Elakkan dari memakai barang-barang kemas secara berlebihan yang boleh menarik perhatian penjenayah.
  • Elakkan dari meletak beg tangan yang mudah dicapai oleh orang lain umpamanya di atas kaunter, di dalam bakul pasar dan sebagainya.
  • Memasang alat penggera pencegahan ragut pada beg tangan.

Sumber: PDRM

PAKAIAN SERAGAM AHLI KADET POLIS

Tatacara pemakaian uniform dan lencana-lencana ahli Kadet Polis.

BAJU
Baju kemeja potongan polis biasa berlengan pendek. Pegaai berpangkat Sarjan Mejar ke atas boleh memakai 'bush jacket' sebagai pilihan. Bagi ahli Kadet Wanita memakai 'bush jacket' berlengan panjang.

SELUAR
Seluar panjang

BERET POLIS
Semua ahli pasukan kadet polis dikehendaki memakai beret sebagai penutup kepala.

KAIN TUDUNG
Kadet wanita dibenarkan memakai tudung kepala berwarna baju sebagai pilihan. Pemakaiannya mestilah kemas dan bahagian bawah tudung hendaklah dimasukan ke dalam baju.

LENCANA POLIS
Lencana Polis Diraja Malaysia hendaklah dipakai pada beret dengan dilapik dengan pelapik biru muda (turquoise).

LENCANA BAHU
Lencana bahu kain berwarna biru muda yang bertulis warna putih 'KADET POLIS' hendaklah dipakai 3 cm di bawah lidah bahu baju kanan dan kiri bagi semua Pegawai Kanan dan anggota kadet.

TALI PINGGANGTali pinggang nilon berwarna biru gelap. Kepala tali pinggang berlambang Polis Diraja Malaysia.

BUTANG BAJU
Butang plastik warna baju berukuran sedang bagi APR/anggota dan butang logam bagi pegaai kanan.

KASUT
Kasut potong kulit bertali berwarna hitam.

WISEL
Sama seperti bentuk wisel polis.

SARUNG KAKI
Sarung kaki nilon berwarna hitam.

APULET
Pegawai Kanan memakai apulet berwarna biru/hitam.

LENCANA KOLAR
Dipakai dihujung kolar baju nan dan kiri bagi semua Pegawai Kanan dan ahli kadet.

LENCANA PANGKAT
Struktur dan bentuk pangkat bagi Pegawai Kanan Kadet sama dengan Pegawai Kanan Polis biasa. Bagai Pegawai Pangkat Rendah mengikut ukuran yang telah ditetapkan dan dipakai di kanan dan kiri lidah bahu baju.

LENCANA SEKOLAH
Lencana sekolah hendaklah dipakai di tengah-tengah poket sebelah kiri baju.

TANDA NAMA
Tanda nama berwarna hitam berukuran 2 cm x 7 cm hendaklah dipakai di atas poket sebelah kanan baju.

MAFLA
Penutup leher (mafla) berwarna muda hendaklah dipakai semasa perbarisan rasmi dan perbarisan perkhemahan tahunan.

WARNA PAKAIAN
Warna biru gelap sama seperti pakaian Polis Biasa.

REBEN
Pegawai dan anggota kadet dibenarkan memakai reben mengikut warna tahap kelulusan ujian yang telah ditetapkan di atas poket baju sebelah kiri.








Monday, August 9, 2010

PERJUMPAAN GURU-GURU KADET POLIS DENGAN ASP HAJI OTHMAN SULAIMAN, KETUA BAHAGIAN PENGURUSAN DAERAH IPD PONTIAN

Petang ini Isnin 9 Ogos 2010, bermula pukul 3.00 petang perjumpaan bersama antara Ketua Bahagian Pengurusan Daerah IPD Pontian, ASP Haji Othman Sulaiman dengan guru-guru Kadet Polis Pontian diadakan di Bilik Gerakan IPD Pontian.

Perbincangan bersama itu meliputi:

  1. Memantapkan dan mengukuhkan barisan organisasi Kor Kadet Polis di peringkat sekolah dan daerah.
  2. Jika boleh, pengambilan ahli Kadet Polis diperketatkan agar hanya yang terbaik sahaja menjadi ahli Kadet Polis.
  3. Masalah logistik seperti uniform akan cuba diatasi. Semua daerah menghadapi masalah yang sama.
  4. Mempertingkatkan tahap disiplin semua ahli Kadet Polis. Ahli Kadet Polis tidak terpalit dengan jenayah yang boleh memalukan PDRM.
  5. Guru-guru Kadet Polis hendaklah memaklumkan mengenai kesalahan jenayah kepada semua ahli-ahli Kadet Polis. Ahli Kadet Polis mesti 'cream af the cream' di kalangan pelajar-pelajar di sekolah.
  6. Ahli Kadet Polis tidak terlibat dalam gejala sosial.
  7. Adalah tidak bermakna jika ahli Kadet Polis memenangi sesuatu pertandingan tapi disebaliknya maruah diri tergadai.
  8. Berharap ahli Kadet Polis mempunyai keperibadian, personaliti dan 'social life' yang unggul (towering personality).
  9. PDRM akan turun padang menunjukcara kepada ahli Kadet Polis cara-cara memberi maklumat (maklumat dan risikan). Ahli Kadet Polis adalah mata dan telinga PDRM.
  10. Ahli Kadet Polis menjadi satu elemen menangani gejala sosial.
  11. Masukkan dan tekankan program keagamaan dan kerohanian untuk ahli Kadet Polis semasa melakukan aktiviti (back to religious) bagi menangani gejala sosial.
  12. IPD Pontian bersama Kor Kadet Polis Pontian akan mengadakan satu seminar berkaitan dengan undang-undang khas untuk semua guru-guru Kadet Polis selepas Hari Raya Aidilfitri.

Kami mengucapkan terima kasih kepada ASP Haji Othman Sulaiman atas perbincangan yang sarat dengan maklumat. Perjumpaan ini ditangguhkan pada pukul 5.00 petang.




Sunday, August 8, 2010

PUPUK NILAI MURNI BENDUNG GEJALA SOSIAL

Mingguan Malaysia, 8 Ogos 2010





MUHYIDDIN Yassin menguji senjata automatik F5 ketika merasmikan Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di IKBN Pagoh, Johor, semalam.Turut sama Musa Hassan dan Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.





MUAR 7 Ogos - Kerjasama pintar antara institusi-institusi sosial dalam masyarakat perlu ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam usaha membendung jenayah dan gejala sosial termasuk masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa ketika ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, institusi tersebut seperti pendidikan, ekonomi, agama dan politik penting untuk menggembleng tenaga untuk tujuan berkenaan dan tanggungjawab itu tidak boleh disandarkan kepada institusi kekeluargaan semata-mata.

"Kita tidak mahu apabila negara mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020, sebaliknya kita mempunyai masyarakat yang pincang budaya dan institusi sosial yang porak-peranda," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini hari ini. Hadir sama adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.


Muhyiddin berkata, terjebaknya generasi muda dalam gejala dadah, mat rempit, pembuangan bayi, judi, ah long, kongsi gelap, arak dan gangsterisme adalah perlakuan songsang yang semakin bertambah akibat kebanyakan norma dan nilai budaya yang didukung institusi sosial tidak lagi dipatuhi. Ini kerana, secara idealnya, kebudayaan dalam masyarakat telah menggariskan pola perlakuan yang betul, baik, salah, buruk, berfaedah atau tidak iaitu jika nilai-nilai ini diikuti maka pelbagai masalah dan konflik akan dapat diatasi. Justeru, beliau berpendapat, penyelesaian kepada kepincangan masyarakat itu dapat ditangani apabila setiap anggota masyarakat menitikberatkan nilai murni yang terdapat dalam semua agama.


"Nilai-nilai murni di sebalik pelaksanaan al-Ta'dib dalam Islam secara umumnya adalah menjaga kemaslahatan nasab dan keturunan manusia seperti kemuliaan budi pekerti dan bertanggungjawab, memupuk sikap telus dan terbuka, memupuk budaya saling nasihat menasihati dan sikap prihatin dan kasih sayang dalam keluarga," jelasnya.


Dalam tamadun China pula sebagai contoh, katanya, amat menekankan soal nilai murni dan moral yang baik, berfalsafah, ilmu, pendidikan, politik, seni dan sastera sebagaimana yang terdapat dalam buku Lun Yu iaitu pengajaran utama Confusius yang diamalkan oleh kaum itu.


Sementara itu, beliau memuji kejayaan polis menurunkan kadar jenayah dan ia dapat dicapai dengan kerjasama anggota masyarakat dengan pihak berkuasa.

Saturday, August 7, 2010

KARNIVAL NILAI MURNI CEGAH JENAYAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2010

Pada hari Sabtu 7 Ogos 2010 berlangsung Karnival Nilai Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan. Karnival tersebut diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh, Muar.

Karnival tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir bersama dalam karnival tersebut ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Dalam ucapannya, Tan sri Muhyiddin Yassin meminta institusi sosial seperti pendidikan, ekonomi, agama dan politik hendaklah bekerjasama memupuk nilai-nilai murni dalam usaha membendung jenayah dan gejala sosial.

Antara aktiviti karnival adalah:

1. Pertunjukan payung terjun oleh komando PDRM
2. Pentomen Bukit Kepung
3. Hot air balloon
4. Persembahan unit berkuda
5. Unit anjing pengesan PDRM
6. Pertunjukan T-Batton
7. Persembahan ghazal
8. Sketsa pencegahan jenayah
9. Pertandingan tarik tali
10. Pameran di gerai-gerai.

Kadet Polis Pontian menghantar seramai 30 orang ahli untuk menghadiri dan turut serta dalam karnival tersebut. Mereka masing-masing 10 orang dari SMK Sri Kukup, SMK Telok Kerang dan SMK Sri Tanjung. Kehadiran ahli-ahli Kadet Polis Pontian diiringi oleh ASP/K Hasan Kasmuri dan Insp./K Siti Aminah Abd. Aziz.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.


ASP/K Hasan Kasmuri dan Insp./K Siti Aminah Abd Aziz berpeluang bergambar dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.


Ketibaan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut oleh Tan Sri Musa Hasan dan Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff.

Barisan Kawalan Kehormatan PDRM.



TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tabik hormat daripada pegawai baris.



TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan.



TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi masuk ke dewan.

Aksi penerjun.



Pondok Polis Bukit Kepong.


Tragedi Bukit Kepong.



Aksi cegah jenayah.

... masih aksi cegah jenayah.

Aksi kereta peronda PDRM.


Persembahan pancaragam PDRM.


Orang ramai di Stadium Mini IKBN.


Bersama Sarjan Mahmood.


Bersama 'Abang Komando'.


Kadet Polis SMK Sri Tanjung.


Kadet Polis SMK Sri Kukup.


Kadet Polis SMK Telok Kerang.


Ahli-ahli Kadet Polis Pontian bersama ASP/K Hasan Kasmuri dan Insp./K Siti Aminah Abd Aziz.

Saturday, July 31, 2010

KDN BERJAYA KURANGKAN KADAR JENAYAH DARIPADA SASARAN

Berita Harian, 18 Mei 2010

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam tempoh itu Jenayah Indeks menurun sebanyak 15.3 peratus dan kadar Jenayah Jalanan turun sebanyak 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian dan pelancaran logo 1Malaysia KDN di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata, ia menunjukkan kementerian sudah mengenalpasti secara tepat “kawasan panas” jenayah, faktor yang boleh menyebabkan peningkatan jenayah dan menetapkan fokus yang betul melalui lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurangan Jenayah dan 55 inisiatif yang dirangka melalui makmal jenayah.

Pada sidang medianya, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing petang ini akan meneliti laporan akhir pelaksanaan Makmal Pengurusan Warga Asing yang telah berlangsung selama sebulan bermula 23 Mac lalu.

Beliau berkata, penemuan daripada makmal itu akan dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini.

Sementara itu, Idris berkata, hasil Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk jenayah cemerlang bagi suku pertama dan apa yang polis dan kementerian lakukan dalam suku pertama adalah di luar jangkaan.

"Untuk sepanjang tahun, kita jangkakan indeks jenayah turun sebanyak lima peratus, tetapi dalam suku pertama, kita telah menyaksikan keseluruhan jenayah turun sebanyak 15 peratus. Ini lebih tinggi daripada sasaran sepanjang tahun dan untuk jenayah jalanan, kita sasarkan penurunan sebanyak 20 peratus, tetapi dalam suku pertama kita menyaksikan penurunan sebanyak 39 peratus. Ini adalah penurunan yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata, penempatan 14,444 anggota polis, 3,160 Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di 50 kawasan panas menyebabkan penurunan yang banyak.

"Jadi kita akan bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan bukan sahaja menempatkan lebih ramai anggota polis dan pasukan sukarela di jalan-jalan, tetapi juga akan memasang lebih banyak CCTV," katanya.

Idris berkata, kira-kira 500 CCTV akan dipasang menjelang akhir tahun ini di semua kawasan panas.


Sunday, July 18, 2010

UCAPAN SELAMAT BERPISAH KEPADA C/INSP. JOHARI BIN ABDULLAH

Kor Kadet Polis Daerah Pontian kehilangan seorang pegawai yang dedikasi memimpin guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis. Beliau yang dimaksudkan ialah C/Insp. Johari Bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Awam IPD Pontian. Pada 16 Julai 2010 Tuan Johari berpindah ke IPK Johor di Johor Bahru dengan memegang jawatan sebagai Pegawai Tatatertib Implementasi.

C/Insp. Johari Bin Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Tuan Jo telah memberi peluang kepada ahli-ahli Kadet Polis Pontian menjalani latihan-latihan seperti kawad bersenjata dan latihan menembak senjata M16. Tuan Jo selaku Komandan Perkhemahan juga turut sama-sama berkhemahdi Hutan Rekreasi Sungai Bantang dalam aktiviti Perkhemahan Pentauliahan Pangkat Sarjan dan Koperal Kadet Polis Pontian.

Gaya Tuan Jo yang bersahaja dan mesra memudahkan guru-guru Kadet Polis berurusan dan meminta kerjasama pegawai-pegawai di IPD Pontian. Kami harap di IPK Johor nanti, Tuan Johari dapat memberi komitmen tinggi terhadap tugas dan jawatan yang disandang kepada pasukan PDRM. Kami di sini tentunya tak dapat melupakan segala jasa baik, kerjasama dan bantuan yang diberi oleh Tuan Jo.

Selamat berpisah. Semoga Tuan Jo bahagia bersama keluarga dan kerjaya.


Tuan Johari memantau latihan kawad bersenjata semasa
Hari Kor kadet Polis Daerah Pontian 2010.





Tuan Johari mengetuai siri latihan menembak senjata M16
di Lapang Sasar PDRM, IPK Melaka.









Tuan Johari sebagai Komandan Perkhemahan di Perkhemahan
Pentauliahan Pangkat Sarjan dan Koperal Kor Kadet Polis Pontian
di Hutan Rekreasi Sungai bantang, Segamat, Johor.