Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Friday, August 31, 2012

KADET POLIS MENJUARAI PERTANDINGAN PERBARISAN LINTAS HORMAT SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DAERAH PONTIAN KATEGORI UNIT BERUNIFORM

Hari ini adalah sambutan Hari Kemerdekaan ke-55. Perbarisan sambutan diadakan di merata tempat di seluruh Malaysia sama ada di peringkat kebangsaan, negeri atau di peringkat daerah. Di peringkat daerah Pontian sambutan pada tahun ini diadakan di Stadium Mini Pontian.

Majlis Daerah Pontian sebagai penganjur sambutan menyatakan sebanyak 53 penyertaan perbarisan yang melibatkan kontinjen pejalan kaki dan kontinjen statik. Pada awal pagi hujan turun lebat yang membasahi jalan-jalan dan padang perhimpunan. Perbarisan bermula tepat pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 11 pagi bertemakan 'Janji Ditepati".

Ramai penduduk di daerah Pontian hadir bagi memeriahkan acara dan menyelami erti kemerdekaan sebenar serta untuk menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaan di Stadium Mini Pontian. Suasana di Stadium Mini nampak meriah dan bersemarak terutamanya dengan kibaran Jalur Gemilang di sekeliling dan kawasan Stadium Mini. Sebenarnya inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Kadet Polis daerah Pontian telah menghantar Pasukan Kadet Polis SMK Telok Kerang sebagai wakil bagi menyertai pertandingan perbarisan lintas hormat kategori unit badan beruniform sekolah-sekolah dalam perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan itu. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana pasukan ini telah berjaya menjuarai pertandingan kategori tersebut. Pasukan-pasukan lain yang menyertai pertandingan itu ialah; Pasukan Kadet Bersatu Malaysia, Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pergerakan Puteri Islam, Pasukan Pandu Puteri, Pasukan Pengakap, Pasukan Pengakap Laut, dan Pasukan St. John Ambulance.

Tahniah kami ucapkan kepada ahli-ahli Kadet Polis SMK Telok Kerang yang menjuarai pertandingan tersebut. Tahniah sekali lagi...

























Friday, April 27, 2012

LAPORAN AKHBAR SINAR HARIAN MENGENAI PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS PONTIAN KE-42 2012

KADET POLIS MAMPU DISIPLINKAN PELAJAR 

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012


PONTIAN – Penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti kadet polis di peringkat sekolah bukan sahaja dapat mendisiplinkan mereka, tetapi turut membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim berkata, pengisian aktiviti kadet polis yang menitikberatkan soal disiplin dalam setiap aspek sangat bermanfaat kepada pelajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dilatih berkawad, tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna untuk pembentukan sahsiah dan peribadi.

“Pengetahuan yang diberikan juga banyak memupuk minat pelajar untuk menyertai pa­­sukan polis sebagai kerjaya mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pe­ringatan Hari Kor Kadet Polis ke-42 Peringkat Daerah Pontian di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keahlian pelajar di dalam unit beruniform di sekolah-sekolah menengah di daerah ini juga menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

“Mereka sudah mula menunjukkan minat untuk sama-sama menyertai kadet polis di sekolah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu 13 kadet polis menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan Kor dan empat sekolah menerima anugerah Kor Kadet Polis Daerah Pontian.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Maahad Pontian, Sekolah Tinggi Pei Chun, dan Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

Sementara itu bagi Siti Najiha Jamaludin, 17, dari SMK Sri Tanjung penglibatannya dalam pasukan kadet polis sekolah telah bermula sejak tingkatan satu lagi.

Katanya, impian untuk menjadi anggota polis apabila sudah tamat sekolah kelak membuatkannya begitu berminat untuk menyertai kadet polis di sekolahnya.

“Latihan yang diadakan amat membantu mendisiplinkan saya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis,” katanya.

Saturday, April 21, 2012

SAMBUTAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS KE-42 DAERAH PONTIAN

Pagi ini bertempat di Dataran Datuk Jalok, Benut, Pontian diadakan Perbarisan Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke-42 Daerah Pontian. Majlis disempurnakan oleh DSP Wan Razani Wan Iberahim, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian. Turut hadir ialah Tn. Hj. Msduki  b Hj. Shahri, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, pengetua-pengetua dan GPK Kokurikulum sekolah menengah di Pontian serta para jemputan.

Perbarisan dimulai dengan Kawalan Kehormatan masuk baris. Barisan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 33 ahli Kadet Polis dari SMK Sri Tanjung yang dipimpin oleh Pegawai Baris Insp. KP Mohd Azli b Senawi dan diketuai oleh Sjn KP Amiratul Nadhira bt Mahdi. Di belakangnya adalah detachment yang terdiri daripada ahli-ahli Kadet Polis dari semua sekolah menengah di daerah Pontian.

Perutusan Ketua Polis Negara telah dibacakan oleh  DSP Wan Razani Wan Iberahim, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian. Turut berucap ialah Tn. Hj. Msduki  b Hj. Shahri, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.

DSP Wan Razani Wan Iberahim turut menyampaikan sijil-sijil kecemerlangan dan penghargaan kepada guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis manakala  Tn. Hj. Msduki  b Hj. Shahri menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada jurulatih-jurulatih PDRM IPD Pontian. ASP KP Hasan Kasmuri pula menyampaikan cerderahati daripada Kor Kadet Polis kepada Ketua Polis Daerah Pontian, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian dan Pengetua SMK Sri Tanjung selaku penganjur perbarisan.

Selepas tamat perbarisan, pasukan T-batton dari IPK Johor menunjukkan kehebatan dan ketangkasan mereka  dengan gerakan-gerakan menggunakan T-batton. Sungguh mengagumkan dan menghiburkan...Di satu sudut, diadakan pula pameran daripada PDRM dan AADK.

Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pada tahun ini.  Selamat menyambut Peringatan Hari Kadet Polis Ke-42.