Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Sunday, December 5, 2010

4 NEGERI DAPAT KETUA POLIS BARU

Utusan Malaysia, 3 Disember 2010

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengumumkan baki penstrukturan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan pelantikan empat ketua polis negeri dan kenaikan pangkat bagi 13 pegawai kanan dari pelbagai jabatan. Menurut beliau, pengumuman pelantikan itu merupakan susulan daripada penstrukturan yang dibuat pada 29 Oktober lalu.

Katanya, jawatan Ketua Polis Perak akan diisi oleh Datuk Mohd. Shukri Dahalan yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Terengganu manakala Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Datuk Jamshah Mustapa dinaikkan pangkat mengetuai kontinjen Terengganu.

Tambahnya, Komander Unit Udara PDRM, Datuk Chuah Ghee Lye dilantik Ketua Polis Melaka manakala Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md. Isa dilantik sebagai Ketua Polis Perlis.

Bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman manakala bekas Komander Briged Sarawak PGA dilantik sebagai timbalan Pesuruhjaya Polis negeri sama.

Katanya, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Fatimah Ghazali dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dan Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Abdul Rahim Jaafar dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

Menurut Ismail, Ketua JSJ Kontinjen Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mazlan Lazim dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis negeri itu dan Ketua JSJ Melaka, SAC Mohd. Adnan Abdullah dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor.

“Kesemua pelantikan dibuat ini hasil Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pucuk pimpinan tertinggi PDRM petang ini. Kesemua pegawai dilantik adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk menjawat jawatan berkenaan dan saya berharap mereka akan melakukan yang terbaik dalam tugas masing-masing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail memberitahu, pangkat Ketua JSJ Pahang, T. Narenasagaran iaitu Asisten Komisioner (ACP) dinaikkan kepada SAC. Beliau berkata, dalam mesyuarat itu juga pucuk pimpinan PDRM turut membincangkan langkah-langkah bagi memperkemaskan prosedur dan memperlihatkan ketelusan dalam urusan tatatertib dan disiplin di kalangan anggota dan pegawai. Jelasnya, usaha itu penting bagi mengambil tindakan tegas terhadap anggota dan pegawai yang melakukan salah laku dan menyalahgunakan kuasa.