Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Thursday, November 10, 2011

PEPERIKSAAN SPM

Hari ini adalah hari pertama peperiksaan SPM tahun 2011. Ia akan berakhir pada 14 Disember 2011. Kami mendoakan agar ahli-ahli Kadet Polis yang mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini beroleh kejayaan yang cemerlang.

Sunday, September 11, 2011

KADET POLIS PONTIAN MENJUARAI PERTANDINGAN PERBARISAN HARI KEMERDEKAAN KE 54 DAERAH PONTIAN KATEGORI UNIT BERUNIFORM

Hari ini berlangsungnya Hari Kemerdekaan peringkat daerah Pontian. Hari Kemerdekaan Malaysia disambut di seluruh negara pada setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan. Oleh kerana pada tahun ini, hari Kebangsaan jatuh pada Hari Raya Aidilfitri, sambutan di peringkat nasional akan di adakan pada 16 September 2011 manakala di peringkat daerah Pontian ianya diadakan pada hari ini Ahad 11 September 2011.

Hari kemerdekaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna warni, konsert, pertunjukan pentas, pertandingan dan pelbagai lagi pertunjukan yang diadakan di tempat-tempat yang ditetapkan setiap tahun.


Diucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54. Semoga negara kita Malaysia aman, damai, muhibah dan tenteram serta kondusif. Semoga semangat semalaysia kekal dalam hati setiap rakyat. 1MALAYSIA:TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTEARA.


Acara sambutan ulang tahun hari kemerdekaan itu dimulakan dengan perarakan perbarisan anggota beruniform seperti PDRM, Askar Wataniah, Pasukan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan RELA. Ia diikuti oleh perbarisan unit-unit beruniform sekolah di hadapan YB Datuk Haji Maulizan Bin Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan & Koperasi, Pelajaran dan Pelajaran Tinggi Negeri Johor yang mewakili Menteri Besar Johor. Di belakangan anggota beruniform dan unit-unit beruniform adalah kontinjen-kontinjen ajensi-ajensi kerajaan, mukim, pihak swasta dan lain-lain.


Pada tahun ini sekali lagi Pasukan Kadet Polis SMK Telok Kerang diberi kepercayaan untuk mewakili Pasukan Kadet Ppolis Derah Pontian dalam pertandingan perbarisan Hari Kemerdekaan peringkat daerah Pontian kategori unit beruniform. Pertandingan tersebut disertai 9 pasukan beruniform; Kadet Polis, Persatuan Bulan Sabit Merah, Pergerakan Puteri Islam, Pergerakan Pengakap, Pengakap Laut, St. John Ambulance, Kadet Bomba dan Penyelamat, Kadet Bersatu Malaysia dan Pergerakan Pandu Puteri. Kadet Polis SMK Telok Kerang tidak mengecewakan harapan apabila ia dinobatkan selaku juara dalam pertandingan itu. Tahniah!


Pemenang pertandingan perbarisan Hari Kemerdekaan peringkat daerah Pontian kategori unit beruniform:

  • Johan - Kadet Polis SMK Telok Kerang.
  • Naib Johan - Pengakap Laut SMK dato' Ali Haji Ahmad.
  • Ketiga - Kadet Bomba dan Penyelamat SMK Sri Kukup.

Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Shamsul Sazali, Cikgu Hasan Kasmuri dan Cikgu Mohd Hatta yang menguruskan pasukan dan kepada semua ahli Kadet Polis yang memberi komitmen untuk menyertai perbarisan.























Monday, August 29, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada ahli-ahli Kadet Polis daerah Pontian, pegawai dan jurulatih PDRM IPD Pontian, pegawai-pegawai di PPD Pontian dan semua umat Islam seluruh dunia.

سلامت هاريراي عيدالفطري
Maaf Zahir dan Batin

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.

Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.

Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.

Sebagai tanda meraikan kejayaan itu maka kita dianugerahkan Hari Raya Aidilfiri. Pada asasanya Aidilfitri adalah hari untuk kita menzahirkan kegembiraan. Namun, kegembiraan itu perlu dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan yang kita kecapai di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Aidilfitri bukan hari untuk kita melempiaskan hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah).

Di samping menceriakan hari raya dengan amal ibadat dan takbir raya, umat Islam juga dituntut melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti bermaaf-maafan, memohon kemaafan ibu-bapa, ziarah-menziarahi, menyambung kembali silaturahim yang telah terputus sesama kaum keluarga dan sahabat handai serta menziarahi pusara (kubur) ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

Monday, August 1, 2011

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini umat Islam di Malaysia mula berpuasa di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia. Selamat berpuasa.

"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

Sunday, July 24, 2011

MAJLIS PENTAULIAHAN PANGKAT SARJAN DAN KOPERAL KOR KADET POLIS PONTIAN 2011

Satu majlis pentauliahan pangkat sarjan dan koperal untuk ahli-ahli kadet polis Pontian telah diadakan pada hari Sabtu 23 Julai 2011. Majlis tersebut diadakan di Lapang Sasar PDRM IPK Melaka selepas program latihan dan pertandingan menembak senjata M16.

Majlis yang serba ringkas itu telah disempurnakan oleh ASP Hj. Othman Bin Sulaiman, Pegawai Pengurusan Daerah IPD Pontian. Dalam majlis itu seramai 36 orang ahli kadet polis telah diberi kenaikan pangkat sarjan manakala 108 ahli kadet polis pula telah diberi kenaikan pangkat koperal.

Dalam ucapan penyempurnaan majlis tersebut ASP Hj. Othman Bin Sulaiman mengingatkan kepada ahli-ahli kadet polis yang berpangkat sarjan dan koperal bahawa pangkat yang disandang adalah satu amanah dan tanggungjawab penerima untuk berkhidmat dalam pasukan dengan lebih giat dan bersungguh-sungguh. Tahniah kami ucapkan kepada penerima kenaikan pangkat ini.

Di hujung majlis tersebut ASP KP Hasan Bin Kasmuri selaku Ketua Kor Kadet Polis Pontian telah menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Kor Kadet Polis Pontian kepada IPD Pontian dan IPK Melaka atas kerjasama dan sokongan untuk menjayakan program latihan dan pertandingan menembak pada tahun 2011. ASP Othman Bin Sulaiman (IPD Pontian) dan Kpl. Aman Bin Ibrahim (Pegawai in-charge Lapang Sasar PDRM IPK Melaka) telah menerima cenderahati-cenderahati tersebut. Terima kasih daun keladi, lain masa kami datang lagi.







Saturday, July 23, 2011

LATIHAN DAN PERTANDINGAN MENEMBAK SENJATA M16

Latihan dan pertandingan menembak senjata M16 telah berjaya dilaksanakan. Seramai 124 ahli kadet polis berpangkat sarjan dan koperal dan 40 orang guru kadet polis Pontian telah menjalani latihan tersebut di Lapang Sasar PDRM, IPK Melaka di Ayer Keroh, Melaka pada hari Sabtu 23 Julai 2011.

Latihan yang diketuai oleh ASP Hj. Othman Bin Sulaiman, Pegawai Pengurusan Daerah IPD Pontian, bermula pada pukul 11.00 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang. Latihan  tersebut dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih dari unit persenjataan dan HEA IPD Pontian.

Pertandingan menembak di kelaskan kepada tiga kategori iaitu kategori lelaki, perempuan dan guru-guru kadet polis. Kesemua peserta ini dibekalkan dengan 20 butir peluru. Keadaan lapang sasar pada hari itu yang panas terik menjadi bertambah panas dengan bunyi dentuman berdas-das tembakan yang dilepaskan oleh peserta dalam 17 detail. Dengan kerjasama yang diberikan oleh semua peserta, latihan itu dapat dijalankan dengan lancar.

Keputusan pertandingan menembak senjata M16 Kor Kadet Polis Pontian tahun 2011 adalah seperti berikut:

Kategori Lelaki:
  • Johan - Muhamad Nur Asraf Bin Mat Saat (SMK Sri Tanjung)
  • Naib Johan - Jamiqulhuda Bin Saifolloh (SMA Bugisiah)
  • Ketiga - Mohd Khairul Asyraf Bin Ahmad Saidi (SMK Dato' Ali Hj. Ahmad)
  • Keempat - Muhamad Syukri Bin Ngatiman (SMK Sri Tanjung)
  • Kelima - Mohd Shukor Bin Nikmat (SMK Sri Perhentian)
Kategori Perempuan:
  • Johan - Nur Syafiqah Binti Zulkifli (SMK Sri Perhentian)
  • Naib Johan - Norafiqah Binti Mohd Amin (SMK Dato' Mohd Yunus Sulaiman)
  • Ketiga - Nur Faizzah Binti Maulad Zamri (SMK Telok Kerang)
  • Keempat - Nur Afiqah Hamizan Binti Norizan (SMK Dato' Ali Hj Ahmad)
  • Kelima - Amiratul Nadhira Binti Mahdi (SMK Sri Tanjung)
Kategori Guru:
  • Johan - En. Mohd Adibadio Zaman (SMK Pekan Nanas)
  • Naib Johan - En. Mohamad Zahiruddin Bin Ahmad (SMK Dato' Ali Hj. Ahmad)
  • Ketiga - Cik. Mushryfah Binti Sahari (SMK Tan Sri Osman Mohd Saat)
  • Keempat - En. Mohd Azuan Bin Salimon (SMA Bugisiah)
  • Kelima - Ust. Norilfairuz Bin Abdullah (SMK Sri Tanjung)
Keseluruhan Individu:
  • Johan - Muhamad Nur Asraf Bin Mat Saat (SMK Sri Tanjung)
  • Naib Johan - Jamiqulhuda Bin Saifolloh (SMA Bugisiah)
  • Ketiga - En. Mohd Adibadio Zaman (SMK Pekan Nanas)
  • Keempat - Mohd Khairul Asyraf Bin Ahmad Saidi (SMK Dato' Ali Hj. Ahmad)
  • Kelima - En. Mohamad Zahiruddin Bin Ahmad (SMK Dato' Ali Hj. Ahmad)
Keseluruhan Sekolah:
  • Johan - SMK Sri Tanjung
  • Naib Johan - SMK Dato' Ali Hj Ahmad
  • Ketiga - SMK Sri Perhentian