Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"
Showing posts with label PDRM. Show all posts
Showing posts with label PDRM. Show all posts

Sunday, March 25, 2012

HARIMAU BIRU MASKOT PDRM


Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung-julng kalinya memperkenalkan Harimau Biru sebagai maskot rasmi pasukan itu sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Dataran Merdeka.

Pelancaran maskot tersebut disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bersama lebih 10,000 pegawai, anggota polis serta orang awam.

Pemilihan maskot itu melambangkan integriti pasukan tersebut yang berani dalam menjalankan tugas serta amanah untuk menjaga keamanan negara.

Saturday, March 24, 2012

KETUA POLIS NEGARA: UBAH PERSEPSI PADA POLIS

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan dengan memantapkan kualiti perkhidmatan demi kepuasan orang ramai, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata persepsi sesetengah masyarakat terhadap perkhidmatan polis yang didakwa tidak "memuaskan" perlu ditangani bagi menjaga kredibiliti pasukan yang telah wujud sejak 205 tahun lalu.

"Usaha menangani persepsi bermula dari akar umbi, dan anggota yang berdepan dengan orang ramai atau 'frontliners' mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Dataran Merdeka.

Tan Sri Ismail Omar berkata amalan integriti dalam diri setiap pegawai dan anggota polis akan menyerlahkan lagi sifat profesionalisme malah gandingan kedua-dua sifat itu, yang juga merupakan "magna carta" PDRM, akan berjaya meningkatkan lagi persepsi positif masyarakat terhadap pasukan tersebut.

Beliau berkata PDRM amat mengalu-alukan semangat 'voluntarisme' di kalangan belia, penduduk kawasan perumahan, masyarakat sivil, penjawat awam dan sektor awam yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada polis dalam membanteras jenayah serta menjaga keharmonian rakyat.

Tan Sri Ismail Omar berkata beberapa langkah awal telah dimulakan di ibu kota untuk mengimplementasi projek 'World Class Policing' untuk menjadikan Kuala Lumpur tersenarai dalam Global Top 20 sebagai bandar yang sesuai didiami menjelang tahun 2020.

"Sasaran PDRM ialah untuk menyediakan sistem keselamatan dan infrastruktur bertaraf antarabangsa dapat direalisasikan. Ini adalah sebahagian inisiatif penjenamaan semula PDRM untuk mencapai matlamat transformasi polis agar setaraf dengan agensi kepolisan di negara maju," katanya.

Beliau juga berkata tema "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" untuk sambutan Hari Polis kali ini dianggap satu ikrar untuk memperbaharui iltizam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat secara cekap dan berkesan.

Sunday, January 8, 2012

POLIS PERLU LEBIH BERSEDIA TERIMA KRITIKAN - SULTAN JOHOR


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (dua, kiri) berkenan
berangkat ke Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri
1/2011 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, semalam.
Turut mengiringi Hishammuddin Tun Hussein (tiga, kanan),
Abdul Ghani Othman (kiri) dan Ismail Omar (tengah)
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, anggota polis tidak sepatutnya mengharapkan pujian atas setiap kejayaan yang dicapai oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebaliknya baginda bertitah, dalam berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat pada masa kini, anggota polis perlu lebih bersedia untuk menerima kritikan dan tuduhan.

“Jangan harapkan pujian yang manis atas segala kejayaan yang dicapai, tetapi bersedialah untuk menerima cacian atas satu kegagalan yang kecil. Masyarakat sekarang hanya nampak yang buruk daripada yang baik,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.
 
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Baginda bertitah, dengan beban tugas dan tanggungjawab yang semakin luas, PDRM tidak mungkin mampu menyelesaikan semua masalah dengan sempurna.
 
Tegas baginda, walaupun kesilapan melibatkan tindakan anggota tidak boleh dinafikan berlaku, namun ia tidak seharusnya diperbesar-besarkan untuk menimbulkan persepsi negatif.

“Tidak wajar menghina seluruh pasukan PDRM atas kesilapan seorang anggota dengan menyerang polis melalui pelbagai tuduhan dan cacian. Masyarakat harus berterima kasih kepada polis kerana menjaga ketenteraman dan kesejahteraan hidup kita,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda bertitah, dalam menghadapi tanggapan negatif segelintir masyarakat, setiap anggota harus berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tugas yang berpatutan.

“Jika tidak berubah polis akan lemah dan terus ketinggalan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai. PDRM harus bergerak seiring dengan negara-negara maju yang lain dengan memiliki warga kerja yang bukan sahaja sihat mental dan fizikal malah mempunyai daya pemikiran yang tinggi,” titah baginda lagi.

Baginda juga berharap setiap anggota menjadi polis yang lebih berintegriti dan berdisiplin tinggi demi memastikan kepercayaan yang diberi oleh masyarakat dipikul dengan baik.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut menyampaikan ucapan tahniah kepada 960 pelatih yang berjaya menamatkan latihan pegawai kanan itu dalam tempoh sembilan bulan.

Sumber: Mingguan Malaysia, 2 Januari 2012

ANAKANDA SULTAN JOHOR JADI POLIS


TUNKU ABDUL JALIL memberi arahan pada majlis
Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011
di Pusat Latihan Polis, semalam.

“Di mana pun saya dihantar bertugas, saya akan terima walaupun di kawasan kampung tetapi mungkin pada peringkat awal ini, saya akan berada di Johor dulu,” kata Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang tamat latihan Inspektor Percubaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Beliau berkata, kerjaya polis memang diminatinya sejak kecil, malah menghargai khidmat diberi anggota polis untuk kerabat diraja, rakyat dan negara sejak sekian lama.

Berikutan itu, katanya, sudah tiba masanya PDRM mendapat tumpuan dan sokongan daripada kerabat diraja pula.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi polis, tetapi hanya pada usia 22 tahun dan selepas tamat pengajian dalam bidang zoologi dan konservasi dari universiti di United Kingdom (UK), barulah saya mampu menjadikannya kenyataan.

“Sepanjang menjalani latihan, cabaran paling sukar dihadapi adalah bersabar kerana setiap kesalahan yang kami lakukan akan dikenakan hukuman. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berupaya mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama pasukan,” katanya.

Tunku Abdul Jalil mengetuai 959 pelatih Inspektor yang lain, sebagai Pegawai Pemerintah Baris dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Inspektor Siri 1 Tahun 2011, di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, semalam.

Upacara pentauliahan dirasmikan Sultan Johor ini turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sultan Johor menyampaikan Sijil Tamat Latihan Asas dan hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan, V Vijay, Anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Masna Syamsul dan Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Firdaus Alshaari dan Nor Nazahiyah Mohamad.

Sementara itu, Ismail berkata, Latihan Asas Inspektor Percubaan kali ini yang pertama dalam sejarah kepolisan negara dengan 960 pelatih Inspektor Percubaan menjalani latihan serentak dalam satu sesi.

Beliau turut memberi ingatan kepada pelatih mengenai cabaran utama dihadapi PDRM masa kini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat.

Sumber: Berita Minggu, 8 Januari 2012

Sunday, December 5, 2010

4 NEGERI DAPAT KETUA POLIS BARU

Utusan Malaysia, 3 Disember 2010

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengumumkan baki penstrukturan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan pelantikan empat ketua polis negeri dan kenaikan pangkat bagi 13 pegawai kanan dari pelbagai jabatan. Menurut beliau, pengumuman pelantikan itu merupakan susulan daripada penstrukturan yang dibuat pada 29 Oktober lalu.

Katanya, jawatan Ketua Polis Perak akan diisi oleh Datuk Mohd. Shukri Dahalan yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Terengganu manakala Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Datuk Jamshah Mustapa dinaikkan pangkat mengetuai kontinjen Terengganu.

Tambahnya, Komander Unit Udara PDRM, Datuk Chuah Ghee Lye dilantik Ketua Polis Melaka manakala Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md. Isa dilantik sebagai Ketua Polis Perlis.

Bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman manakala bekas Komander Briged Sarawak PGA dilantik sebagai timbalan Pesuruhjaya Polis negeri sama.

Katanya, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Fatimah Ghazali dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dan Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Abdul Rahim Jaafar dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

Menurut Ismail, Ketua JSJ Kontinjen Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mazlan Lazim dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis negeri itu dan Ketua JSJ Melaka, SAC Mohd. Adnan Abdullah dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor.

“Kesemua pelantikan dibuat ini hasil Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pucuk pimpinan tertinggi PDRM petang ini. Kesemua pegawai dilantik adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk menjawat jawatan berkenaan dan saya berharap mereka akan melakukan yang terbaik dalam tugas masing-masing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail memberitahu, pangkat Ketua JSJ Pahang, T. Narenasagaran iaitu Asisten Komisioner (ACP) dinaikkan kepada SAC. Beliau berkata, dalam mesyuarat itu juga pucuk pimpinan PDRM turut membincangkan langkah-langkah bagi memperkemaskan prosedur dan memperlihatkan ketelusan dalam urusan tatatertib dan disiplin di kalangan anggota dan pegawai. Jelasnya, usaha itu penting bagi mengambil tindakan tegas terhadap anggota dan pegawai yang melakukan salah laku dan menyalahgunakan kuasa.

Wednesday, November 24, 2010

POLIS DILENGKAPI TEKNOLOGI TERKINI ATASI JENAYAH RENTAS SEMPADAN

Utusan Malaysia, 24 November 2010

Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperlengkapkan dengan ilmu dan teknologi terkini bagi menangani jenayah merentasi sempadan yang semakin meningkat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, polis perlu mengetahui perkembangan terkini dan mengikut peredaran zaman kerana jenayah dan penjenayah masa kini semakin canggih.

Katanya, jenayah yang merentasi sempadan seperti keganasan, penyeludupan manusia, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, jenayah komersial dan perjudian menerusi internet berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

"Teknologi sekarang semakin canggih. Ia semakin meningkat bukan hanya di negara kira, bukan hanya di rantau ini tetapi di seluruh dunia. Kita tak boleh toleh belakang. Kita kena bekerjasama dengan agensi-agensi (penguatkuasaan) dari negara lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff.