Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"
Showing posts with label KPN. Show all posts
Showing posts with label KPN. Show all posts

Saturday, January 8, 2011

PDRM TINGKATKAN INTEGRITI, IMEJ UNTUK PERANGI JENAYAH

Berita Harian, 8 Januari 2011

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggiatkan lagi usaha untuk memerangi jenayah dengan meningkatkan lagi integriti, profesionalisme dan imej anggota dan pegawainya serta pemodenan peralatan dan infrastruktur, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Satu daripada eleman penting bagi kejayaan di sini ialah dengan meningkatkan lagi integriti pegawai-pegawai saya ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada taklimat kepada editor-editor kanan media di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman di sini awal minggu ini. Antara pegawai kanan PDRM yang hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik, Datuk Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Mashuri Zainal. Ismail mengakui terdapat "beberapa anggota dan pegawai" yang telah mencemarkan imej pasukan keselamatan itu tetapi menurutnya beliau akan terus berusaha meningkatkan tahap profesionalisme pegawainya melalui pembangunan modal insan dan latihan.

Buat permulaan, semua anggota dan pegawai di barisan hadapan perlu sentiasa kemas berpakaian seragam dan profesional dalam tatalaku dan ketika bertugas seperti menahan kereta, mengeluarkan saman atau merekodkan laporan, katanya.

"Mereka perlu berada dalam kelas pertama daripada segi penampilan, tatalaku dan cara mereka bercakap," kata Ismail, yang memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 13 Sept tahun lalu setelah menyertai PDRM sebagai inspektor pada 1971.

Ismail juga berkata sejak beliau menerajui pasukan keselamatan itu, pegawai polis turut diarahkan memupuk hubungan lebih rapat dengan orang ramai terutama di kawasan mereka termasuk badan dan persatuan agama.

Untuk menampilkan imej pasukan yang lebih positif, pegawai juga dinasihatkan supaya memakai pakaian seragam semasa menunaikan solat atau upacara keagamaan di masjid, kuil atau gereja dan perlu terlibat secara proaktif dalam aktiviti yang dianjurkan rumah-rumah ibadat berkenaan.

"Kami mahu mengambil pendekatan baru di sini. Saya dimaklumkan yang pegawai polis di Pulau Pinang, Johor dan Perak bersama-sama menaiki bas polis untuk pergi sembahyang dan saya harap pegawai di negeri-negeri lain juga akan berbuat demikian," katanya.

Dengan menjalin hubungan lebih rapat dengan masyarakat, beliau berkata ia akan membantu polis meraih keyakinan dan kerjasama orang ramai yang akan dapat membantu mereka dalam tugasan pencegahan dan penyelesaian jenayah.

"Ini mengenai pemupukan perasaan lebih hormat dan sayang kepada pegawai saya dalam pakaian seragam biru," katanya.

Mengenai pemodenan infrastruktur dan peralatan pasukan polis, beliau berkata ia bukan hanya melibatkan pemerolehan aset tetapi juga latihan bagi memahirkan pegawai dalam menggunakan teknologi terkini untuk memerangi jenayah.

Memastikan pasukan polis dilengkapi peralatan pengawasan teknologi terkini akan dapat meningkatkan keupayaan pegawai secara menyeluruh, beliau berkata, "Kami mahu menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal yang selamat...bagi rakyat Malaysia, pelabur-pelabur dan pelancong...kami mahu mereka benar-benar berasa selamat," katanya.

Katanya, polis sebagai penjaga undang-undang, akan menggunakan pendekatan tegas tetapi berhemah dalam mengendalikan mereka yang melanggar undang-undang negara.

Pasukan polis telah berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan oleh PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri) untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus dan jenayah keseluruhan sebanyak 5.0 peratus pada 2010 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Jenayah.

Mengikut fakta, indeks jenayah jalanan di Malaysia menurun sebanyak 35 peratus pada 2010 berbanding pada 2009 manakala jenayah keseluruhan berkurangan sebanyak 15 peratus berbanding pada 2009. - BERNAMA

Thursday, September 9, 2010

MAJLIS SERAH DAN TERIMA TUGAS JAWATAN KETUA POLIS NEGARA

Berita Harian, 9 September 2010

Tan Sri Musa Hasan (kiri) menyerahkan dokumen kepada Tan Sri Ismail Omar sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam (dua dari kiri) pada Majlis Serah dan Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, semalam.

Tan Sri Musa, 58, akan menamatkan perkhidmatannya selama 41 tahun bersama PDRM Ahad ini, selepas kerajaan memutuskan tidak menyambung kontrak perkhidmatannya yang sebelum ini dilanjutkan selama dua kali.

Difahamkan, beliau selepas ini akan memantau projek pembinaan Akademi Latihan Antarabangsa Langkawi (LITA), yang mengkhusus kepada latihan dalam bidang anti perdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pelbagai jenayah rentas sempadan lain.

Musa turut menasihatkan Ismail supaya bersedia menerima sebarang kritikan dan mengendalikannya dengan bijak tanpa menjejaskan integriti PDRM, selain tidak mudah tunduk atau menjadi `pak turut’ dalam melaksanakan tugas.

“Diharap semua agenda yang dirancang dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM sebelum ini diteruskan, ke arah usaha penambah baikan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan setiap pegawai dan anggota, terutama dalam memerangi jenayah, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat di negara ini,” katanya.


Friday, September 3, 2010

TAN SRI ISMAIL OMAR DILANTIK SEBAGAI KETUA POLIS NEGARA BERMULA 13 SEPTEMBER 2010

Harian Metro, 2 September 2010


PUTRAJAYA: Selepas 41 tahun menaburkan jasa dalam kerjaya kepolisan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, 59, bakal bergelar rakyat biasa pada 13 September ini apabila kontraknya tamat sehari sebelum itu dan jawatannya bakal disandang oleh Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Penamatan kontrak Musa dan pelantikan Ismail, 56, diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop di samping Musa dan Ismail.

Pada sidang media itu juga, Hishammuddin turut mengumumkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail bakal mengambil alih jawatan Ismail sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

“Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara adalah jawatan khas mengikut Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, cadangan lantikan ke jawatan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Tan Sri Musa selama 41 tahun dalam pasukan polis,” katanya.

Ketika ditanya tarikh pertemuan di antara Najib dan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenaan baginda berkaitan pelantikan Ketua Polis Negara yang baru, Hishammuddin berkata, perkara itu terserah kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, bila pertemuan itu akan diadakan tidak penting kerana pelantikan hanya akan berkuatkuasa selepas 12 September ini.

Mengulas penamatan kontrak Musa, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Musa akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya kepada negara khususnya untuk menerajui penubuhan Akademi Latihan bertaraf antara bangsa di Langkawi. Penubuhan akademi ini bertujuan menangani jenayah merentasi sempadan seperti jenayah siber, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram, anti pengganas, pengurusan krisis dan risiko.