Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"
Showing posts with label Membanteras Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Membanteras Jenayah. Show all posts

Wednesday, October 20, 2010

PANDUAN PENCEGAHAN JENAYAH: ROMPAK DAN SAMUN

ROMPAKAN DI RUMAH

  • Pastikan pintu pagar atau pintu utama dikunci sepanjang masa.
  • Jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
  • Kenal pasti pelawat melalui 'door viewer' dan pastikan rantai kunci pintu berkunci apabila bercakap dengan pelawat yang tidak dikenali.
  • Maklumkan kepada ahli keluarga terlebih dahulu jika anda menyuruh kawan atau seseorang ke rumah anda.

ROMPAKAN DI TEMPAT AWAM


  • Berwaspada apabila ada orang yang tidak dikenali mengekori anda atau yang berpeleseran di kawasan lif.
  • Elakkan dari menaiki lif dengan orang yang mencurigakan.
  • Aturkan seseorang untuk menemani anda pulang ke rumah.
  • Apabila anda dalam lif, sentiasa berdiri berdekatan dengan panel kawalan lif. Ini membolehkan anda mengawal lif jika berlaku perkara yang tidak diingini.
  • Elakkan dari memakai barang kemas atau membawa wang tunai yang banyak.
  • Rancang perjalanan anda dan elakkan dari melalui tempat gelap atau sunyi.
  • Berhati-hati dengan orang yang mencurigakan yang sentiasa berpeleseran di lif, tangga, kaki lima dan di kawasan awam.
  • Bawa alat penggera bersama anda dan gunakan ia untuk mencegah perompak atau untuk menarik perhatian orang yang berdekatan.

APA PERLU DILAKUKAN APABILA ANDA DIROMPAK.


  • Anda perlu bertenang.
  • Jangan bertindak jika perompak berkenaan mempunyai senjata.
  • Perhatikan gerak-geri perompak seperti perwatakan, air muka, pakaian, tingkah laku pergerakan dan keterangan fizikal yang lain. Ia boleh membantu polis untuk mengesan perompak berkenaan.
  • Perhatikan juga ke mana arah dan cara perompak itu melarikan diri. Jika ia menggunakan kenderaan, rekodkan nombor pendaftaran, warna kenderaan, dan jenis kenderaan. Pastikan juga ke arah mana ia pergi.
  • Hubungi polis di nombor 999 atau hubungi Balai Polis berdekatan dengan segera.

Saturday, August 14, 2010

PANDUAN PENCEGAHAN JENAYAH: RAGUT DAN PENYELUK SAKU

RAGUT DAN SELUK SAKU

Di manakah peragut dan penyeluk saku bertindak:
  • Peragut sering bertindak di jalan atau lorong yang gelap atau sunyi.
  • Lazimnya peragut menggunakan kenderaan seperti motorsikal atau kereta untuk melakukan kegiatan mereka.


Bagaimana ia boleh belaku:

  • Memakai barang-barang kemas yang sangat ketara dan mendedahkannya untuk tontonan orang ramai.
  • Membawa beg tangan dengan cara memudahkan peragut meragut.
  • Berebut-rebut semasa menaiki bas atau berada di tempat-tempat sibuk dan sesak.
  • Meninggalkan beg-beg yang berisi wang di kaunter pintu masuk pusat membeli-belah semasa masuk membeli-belah.
  • Menyimpan beg duit di kocek-kocek belakang yang tidak berbutang.


Langkah-langkah keselamatan dari ragut:

  • Sentiasa membawa wang secara minima.
  • Selindung wang daripada pandangan umum supaya tidak menarik perhatian penjenayah.
  • Sentiasa membimbit atau mengepit beg tangan dan tidak disangkut atau disandang pada baju supaya ia lebih sukar diragut dan jika diragut boleh mengelak dari berlaku kecederaan kerana diseret.
  • Elakkan dari berjalan seorang diri di tempat-tempat sunyi atau semasa menaiki lif.
  • Jangan mendedahkan barang-barang kemas yang dipakai.
  • Ketika berjalan di atas jalanraya, sentiasa berjalan secara bertentangan dengan arus lalulintas supaya dapat melihat apa jua kenderaan yang datang dari arah hadapan. Beg tangan pula dikepit atau dibimbit dengan tangan kanan.
  • Elakkan dari memakai barang-barang kemas secara berlebihan yang boleh menarik perhatian penjenayah.
  • Elakkan dari meletak beg tangan yang mudah dicapai oleh orang lain umpamanya di atas kaunter, di dalam bakul pasar dan sebagainya.
  • Memasang alat penggera pencegahan ragut pada beg tangan.

Sumber: PDRM

Sunday, August 8, 2010

PUPUK NILAI MURNI BENDUNG GEJALA SOSIAL

Mingguan Malaysia, 8 Ogos 2010





MUHYIDDIN Yassin menguji senjata automatik F5 ketika merasmikan Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di IKBN Pagoh, Johor, semalam.Turut sama Musa Hassan dan Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.





MUAR 7 Ogos - Kerjasama pintar antara institusi-institusi sosial dalam masyarakat perlu ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam usaha membendung jenayah dan gejala sosial termasuk masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa ketika ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, institusi tersebut seperti pendidikan, ekonomi, agama dan politik penting untuk menggembleng tenaga untuk tujuan berkenaan dan tanggungjawab itu tidak boleh disandarkan kepada institusi kekeluargaan semata-mata.

"Kita tidak mahu apabila negara mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020, sebaliknya kita mempunyai masyarakat yang pincang budaya dan institusi sosial yang porak-peranda," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini hari ini. Hadir sama adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.


Muhyiddin berkata, terjebaknya generasi muda dalam gejala dadah, mat rempit, pembuangan bayi, judi, ah long, kongsi gelap, arak dan gangsterisme adalah perlakuan songsang yang semakin bertambah akibat kebanyakan norma dan nilai budaya yang didukung institusi sosial tidak lagi dipatuhi. Ini kerana, secara idealnya, kebudayaan dalam masyarakat telah menggariskan pola perlakuan yang betul, baik, salah, buruk, berfaedah atau tidak iaitu jika nilai-nilai ini diikuti maka pelbagai masalah dan konflik akan dapat diatasi. Justeru, beliau berpendapat, penyelesaian kepada kepincangan masyarakat itu dapat ditangani apabila setiap anggota masyarakat menitikberatkan nilai murni yang terdapat dalam semua agama.


"Nilai-nilai murni di sebalik pelaksanaan al-Ta'dib dalam Islam secara umumnya adalah menjaga kemaslahatan nasab dan keturunan manusia seperti kemuliaan budi pekerti dan bertanggungjawab, memupuk sikap telus dan terbuka, memupuk budaya saling nasihat menasihati dan sikap prihatin dan kasih sayang dalam keluarga," jelasnya.


Dalam tamadun China pula sebagai contoh, katanya, amat menekankan soal nilai murni dan moral yang baik, berfalsafah, ilmu, pendidikan, politik, seni dan sastera sebagaimana yang terdapat dalam buku Lun Yu iaitu pengajaran utama Confusius yang diamalkan oleh kaum itu.


Sementara itu, beliau memuji kejayaan polis menurunkan kadar jenayah dan ia dapat dicapai dengan kerjasama anggota masyarakat dengan pihak berkuasa.

Saturday, July 31, 2010

KDN BERJAYA KURANGKAN KADAR JENAYAH DARIPADA SASARAN

Berita Harian, 18 Mei 2010

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam tempoh itu Jenayah Indeks menurun sebanyak 15.3 peratus dan kadar Jenayah Jalanan turun sebanyak 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian dan pelancaran logo 1Malaysia KDN di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata, ia menunjukkan kementerian sudah mengenalpasti secara tepat “kawasan panas” jenayah, faktor yang boleh menyebabkan peningkatan jenayah dan menetapkan fokus yang betul melalui lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurangan Jenayah dan 55 inisiatif yang dirangka melalui makmal jenayah.

Pada sidang medianya, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing petang ini akan meneliti laporan akhir pelaksanaan Makmal Pengurusan Warga Asing yang telah berlangsung selama sebulan bermula 23 Mac lalu.

Beliau berkata, penemuan daripada makmal itu akan dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini.

Sementara itu, Idris berkata, hasil Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk jenayah cemerlang bagi suku pertama dan apa yang polis dan kementerian lakukan dalam suku pertama adalah di luar jangkaan.

"Untuk sepanjang tahun, kita jangkakan indeks jenayah turun sebanyak lima peratus, tetapi dalam suku pertama, kita telah menyaksikan keseluruhan jenayah turun sebanyak 15 peratus. Ini lebih tinggi daripada sasaran sepanjang tahun dan untuk jenayah jalanan, kita sasarkan penurunan sebanyak 20 peratus, tetapi dalam suku pertama kita menyaksikan penurunan sebanyak 39 peratus. Ini adalah penurunan yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata, penempatan 14,444 anggota polis, 3,160 Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di 50 kawasan panas menyebabkan penurunan yang banyak.

"Jadi kita akan bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan bukan sahaja menempatkan lebih ramai anggota polis dan pasukan sukarela di jalan-jalan, tetapi juga akan memasang lebih banyak CCTV," katanya.

Idris berkata, kira-kira 500 CCTV akan dipasang menjelang akhir tahun ini di semua kawasan panas.