Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Saturday, July 31, 2010

KDN BERJAYA KURANGKAN KADAR JENAYAH DARIPADA SASARAN

Berita Harian, 18 Mei 2010

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam tempoh itu Jenayah Indeks menurun sebanyak 15.3 peratus dan kadar Jenayah Jalanan turun sebanyak 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian dan pelancaran logo 1Malaysia KDN di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata, ia menunjukkan kementerian sudah mengenalpasti secara tepat “kawasan panas” jenayah, faktor yang boleh menyebabkan peningkatan jenayah dan menetapkan fokus yang betul melalui lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurangan Jenayah dan 55 inisiatif yang dirangka melalui makmal jenayah.

Pada sidang medianya, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing petang ini akan meneliti laporan akhir pelaksanaan Makmal Pengurusan Warga Asing yang telah berlangsung selama sebulan bermula 23 Mac lalu.

Beliau berkata, penemuan daripada makmal itu akan dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini.

Sementara itu, Idris berkata, hasil Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk jenayah cemerlang bagi suku pertama dan apa yang polis dan kementerian lakukan dalam suku pertama adalah di luar jangkaan.

"Untuk sepanjang tahun, kita jangkakan indeks jenayah turun sebanyak lima peratus, tetapi dalam suku pertama, kita telah menyaksikan keseluruhan jenayah turun sebanyak 15 peratus. Ini lebih tinggi daripada sasaran sepanjang tahun dan untuk jenayah jalanan, kita sasarkan penurunan sebanyak 20 peratus, tetapi dalam suku pertama kita menyaksikan penurunan sebanyak 39 peratus. Ini adalah penurunan yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata, penempatan 14,444 anggota polis, 3,160 Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di 50 kawasan panas menyebabkan penurunan yang banyak.

"Jadi kita akan bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan bukan sahaja menempatkan lebih ramai anggota polis dan pasukan sukarela di jalan-jalan, tetapi juga akan memasang lebih banyak CCTV," katanya.

Idris berkata, kira-kira 500 CCTV akan dipasang menjelang akhir tahun ini di semua kawasan panas.


No comments:

Post a Comment