Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Saturday, July 31, 2010

KDN BERJAYA KURANGKAN KADAR JENAYAH DARIPADA SASARAN

Berita Harian, 18 Mei 2010

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam tempoh itu Jenayah Indeks menurun sebanyak 15.3 peratus dan kadar Jenayah Jalanan turun sebanyak 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian dan pelancaran logo 1Malaysia KDN di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata, ia menunjukkan kementerian sudah mengenalpasti secara tepat “kawasan panas” jenayah, faktor yang boleh menyebabkan peningkatan jenayah dan menetapkan fokus yang betul melalui lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurangan Jenayah dan 55 inisiatif yang dirangka melalui makmal jenayah.

Pada sidang medianya, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing petang ini akan meneliti laporan akhir pelaksanaan Makmal Pengurusan Warga Asing yang telah berlangsung selama sebulan bermula 23 Mac lalu.

Beliau berkata, penemuan daripada makmal itu akan dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini.

Sementara itu, Idris berkata, hasil Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk jenayah cemerlang bagi suku pertama dan apa yang polis dan kementerian lakukan dalam suku pertama adalah di luar jangkaan.

"Untuk sepanjang tahun, kita jangkakan indeks jenayah turun sebanyak lima peratus, tetapi dalam suku pertama, kita telah menyaksikan keseluruhan jenayah turun sebanyak 15 peratus. Ini lebih tinggi daripada sasaran sepanjang tahun dan untuk jenayah jalanan, kita sasarkan penurunan sebanyak 20 peratus, tetapi dalam suku pertama kita menyaksikan penurunan sebanyak 39 peratus. Ini adalah penurunan yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata, penempatan 14,444 anggota polis, 3,160 Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di 50 kawasan panas menyebabkan penurunan yang banyak.

"Jadi kita akan bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan bukan sahaja menempatkan lebih ramai anggota polis dan pasukan sukarela di jalan-jalan, tetapi juga akan memasang lebih banyak CCTV," katanya.

Idris berkata, kira-kira 500 CCTV akan dipasang menjelang akhir tahun ini di semua kawasan panas.


Sunday, July 18, 2010

UCAPAN SELAMAT BERPISAH KEPADA C/INSP. JOHARI BIN ABDULLAH

Kor Kadet Polis Daerah Pontian kehilangan seorang pegawai yang dedikasi memimpin guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis. Beliau yang dimaksudkan ialah C/Insp. Johari Bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Awam IPD Pontian. Pada 16 Julai 2010 Tuan Johari berpindah ke IPK Johor di Johor Bahru dengan memegang jawatan sebagai Pegawai Tatatertib Implementasi.

C/Insp. Johari Bin Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Tuan Jo telah memberi peluang kepada ahli-ahli Kadet Polis Pontian menjalani latihan-latihan seperti kawad bersenjata dan latihan menembak senjata M16. Tuan Jo selaku Komandan Perkhemahan juga turut sama-sama berkhemahdi Hutan Rekreasi Sungai Bantang dalam aktiviti Perkhemahan Pentauliahan Pangkat Sarjan dan Koperal Kadet Polis Pontian.

Gaya Tuan Jo yang bersahaja dan mesra memudahkan guru-guru Kadet Polis berurusan dan meminta kerjasama pegawai-pegawai di IPD Pontian. Kami harap di IPK Johor nanti, Tuan Johari dapat memberi komitmen tinggi terhadap tugas dan jawatan yang disandang kepada pasukan PDRM. Kami di sini tentunya tak dapat melupakan segala jasa baik, kerjasama dan bantuan yang diberi oleh Tuan Jo.

Selamat berpisah. Semoga Tuan Jo bahagia bersama keluarga dan kerjaya.


Tuan Johari memantau latihan kawad bersenjata semasa
Hari Kor kadet Polis Daerah Pontian 2010.





Tuan Johari mengetuai siri latihan menembak senjata M16
di Lapang Sasar PDRM, IPK Melaka.









Tuan Johari sebagai Komandan Perkhemahan di Perkhemahan
Pentauliahan Pangkat Sarjan dan Koperal Kor Kadet Polis Pontian
di Hutan Rekreasi Sungai bantang, Segamat, Johor.