Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Friday, April 27, 2012

LAPORAN AKHBAR SINAR HARIAN MENGENAI PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS PONTIAN KE-42 2012

KADET POLIS MAMPU DISIPLINKAN PELAJAR 

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012


PONTIAN – Penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti kadet polis di peringkat sekolah bukan sahaja dapat mendisiplinkan mereka, tetapi turut membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim berkata, pengisian aktiviti kadet polis yang menitikberatkan soal disiplin dalam setiap aspek sangat bermanfaat kepada pelajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dilatih berkawad, tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna untuk pembentukan sahsiah dan peribadi.

“Pengetahuan yang diberikan juga banyak memupuk minat pelajar untuk menyertai pa­­sukan polis sebagai kerjaya mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pe­ringatan Hari Kor Kadet Polis ke-42 Peringkat Daerah Pontian di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keahlian pelajar di dalam unit beruniform di sekolah-sekolah menengah di daerah ini juga menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

“Mereka sudah mula menunjukkan minat untuk sama-sama menyertai kadet polis di sekolah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu 13 kadet polis menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan Kor dan empat sekolah menerima anugerah Kor Kadet Polis Daerah Pontian.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Maahad Pontian, Sekolah Tinggi Pei Chun, dan Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

Sementara itu bagi Siti Najiha Jamaludin, 17, dari SMK Sri Tanjung penglibatannya dalam pasukan kadet polis sekolah telah bermula sejak tingkatan satu lagi.

Katanya, impian untuk menjadi anggota polis apabila sudah tamat sekolah kelak membuatkannya begitu berminat untuk menyertai kadet polis di sekolahnya.

“Latihan yang diadakan amat membantu mendisiplinkan saya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment