Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Thursday, April 21, 2011

TEKS UCAPAN PEGAWAI PELAJARAN DAERAH PONTIAN SEMPENA PERBARISAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS KE-41 DAERAH PONTIAN TAHUN 2011

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.


En. Ab. Rahim Bin Lamin
Pegawai Pelajaran Daerah Pontian
  Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana pada petang ini dengan limpah restuNya kita dapat bersama-sama berhimpun di Perhimpunan Peringatan Kor Kadet Polis yang ke 41 Daerah Pontian Tahun 2011.


Pasukan Kor Kadet Polis Pontian dengan kekuatan 39 platun berdaftar daripada 18 buah sekolah menengah di daerah Pontian adalah sebahagian murid-murid yang menyertai unit beruniform di sekolah. Penubuhannya adalah sebahagian daripada kegiatan kokurikulum yang digalakkan di sekolah. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid bergiat dalam pasukan dan mendisiplinkan ahli-ahli melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti yang terancang bagi melahirkan generasi yang terbilang. Bilangan pelajar-pelajar sekolah yang masuk menjadi ahli Pasukan Kor kadet Polis semakin meningkat saban tahun.

Dengan perkembangan pendidikan yang semakin menjadi fokus masyarakat, kita harus bersedia dari egenap segi bagi menyediakan murid-murid menjadi insan madani yang terpuji. Untuk itu saya percaya dengan menjadi ahli pasukan kadet polis ini gejala-gejala sosial yang boleh mengganggu arah tujuan pendidikan dapat dielakkan. Gejala kurang sihat ini jika tidak dikekang dan dibendung tentunya boleh merebak dan membesar. Salah satu cara untuk mengekang gejala kurang sihat ini ialah dengan menganggotai mana-mana unit beruniform contohnya dengan masuk menjadi ahli Pasukan Kor Kadet Polis. Dalam pasukan ini anda tentunya dilatih dan digerakkan dengan kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian seperti latihan kawad, berkhemah, kerja khidmat masyarakat, berorganisasi dalam pasukan, dan lain-lain. Kegiatan dan aktiviti seperti ini diyakini dapat menjadikan anda seorang ahli Kor Kadet Polis atau individu pelajar yang bertanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara.

Para hadirin dan anak-anak Kor Kadet Polis,

Dari atas pentas ini saya melihat betapa segak dan gagah anda semua anak-anak Kor Kadet Polis. Dengan berpakaian uniform penuh sebegini rupa, anda semua seolah-olah anggota Polis Diraja Malaysia. Sesungguhnya saya berbangga dengan apa yang saya lihat pada petang ini. Kecemerlangan pada petang ini adalah lebih bermakna apabila ia selari dengan kecemerlangan akademik anda. Ketajaman tumpuan anda mendengar dan menerima kata perintah daripada pegawai baris, boleh anda gunakan untuk memberi tumpuan jitu kepada guru yang sedang mengajar. Dari[ada disiplin tinggi yang anda tunjukkan semasa anda berbaris pada petang ini, keadaan yang sama juga boleh anda gunakan semasa hadir dan mengikuti pelajaran di sekolah. Pindahkanlah dan gunakanlah kemahiran dan pengalaman anda dalam Pasukan Kor Kadet Polis ini kepada kecemerlangan pencapaian akademik anda. Kami amat berbangga jika anda menguasai kedua-dua bidang ini iaitu kurikulum dan kokurikulum. Saya yakin anda semua boleh melakukannya.

Dalam Pasukan Kor Kadet Polis anda dikatakan sebagai ‘mata dan telinga’ Polis Diraja Malaysia di sekolah. Apa yang boleh anda lakukan ialah kenal pasti rakan-rakan di sekeliling anda yang menghadapi masalah. Jadilah rakan yang membawa kepada kebaikan. Jadilah rakan yang boleh diharapkan oleh rakan yang lain. Bantulah rakan-rakan yang menghadapi masalah. Beritahu dan laporkan kepada guru-guru jika ada rakan-rakan yang bermasalah. Membendung dan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati atau menghukum. Sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM anda boleh melakukannya di peringkat sekolah.

Para hadirin dan anak-anak Pasukan Kor Kadet Polis,

Harapan saya kepada anak-anak Kor Kadet Polis, teruskan usaha anda untuk menyelogkar dan meneroka alam kerjaya Polis Diraja Malaysia. Tentunya ada sesuatu yang menyeronokan dalam PDRM yang menyebabkan anak-anak Kadet Polis menyertai Pasukan Kor Kadet Polis. Terokalah bidang-bidang dalam ilmu kepolisan untuk digunakan khasnya kepada diri sendiri dan juga masyarakat. Binalah kekuatan jati diri dan jadilah seseorang yang berdisiplin tinggi dalam menjalani kehidupan sehari-hari sebagai murid sekolah melalui aktiviti sihat dalam unit uniform kadet polis ini.

Kepada guru-guru Pasukan Kor Kadet Polis di sekolah, bimbing dan bantulah dengan apa cara sekalipun anak-anak Kor Kadet Polis ini agar penyertaan mereka dalam pasukan ini menjadi lebih bermakna untuk membina kehidupan mereka. Berilah mereka peluang seluas-luasnya untuk menyertai apa jua kegiatan dan aktiviti yang dijalankan.

Harapan saya kepada jurulatih PDRM, latihlah anak-anak Kor Kadet Polis dengan penuh semangat. Pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian akan senantiasa memberi kerjasama yang sewajarnya. Marilah kita bersama-sama membina generasi yang terbilang dan seimbang dari segenap segi. Saya harap anak-anak Pasukan Kor Kadet Polis adalah lain daripada yang lain dalam unit beruniform dan teruskan keunggulan anda.

Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Pontian dan Ibupejabat Polis Daerah Pontian atas kerjasama dan sokongan bagi menjayakan program dan aktiviti yang dijalankan oleh Kor Kadet Polis. Terima kasih saya ucapkan kepada Pengetua SMK Telok Kerang, guru-guru Kor Kadet Polis Daerah Pontian, ibu bapa, dan ahli-ahli Kor Kadet Polis.

Selamat Menyambut Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke-41 Daerah Pontian Tahun 2011.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

En. Ab. Rahim Bin Lamin,
Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.
Bertarikh: 20 April 2011

No comments:

Post a Comment