Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Friday, September 17, 2010

16 SEPTEMBER HARI MALAYSIA

NAJIB menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia sambil disaksikan (dari kanan) Alfred Jabu, Musa Aman, Rais dan Masidi Manjun (kiri) pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam tadi. (Foto: Berita Harian 17 September 2010)

Hari Khamis 16 September 2010 adalah Hari Malaysia. Sambutan Hari Malaysia diadakan pada tahun ini bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah. Padang Merdeka memiliki sejarah tersendiri kerana ia adalah lokasi pengisytiharan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama Malaya serta Singapura membentuk negara baru. Singapura bagaimanapun mengambil keputusan keluar dari Malaysia dua tahun selepas itu. Jika 31 Ogos adalah tarikh Malaysia merdeka, 16 September adalah tarikh penyatuan dan kesatuan Malaysia untuk menjadi sebuah negara lebih besar. Pengisytiharan 47 tahun lalu dilakukan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen, manakala Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, turut hadir sebagai wakil Kerajaan Pusat. Mulai tahun ini, Hari Malaysia diisytihar cuti umum seluruh negara tanda pengiktirafan kerajaan sebagai hari kebesaran negara.

Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963
(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah.

Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu.

Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hari ini 1 Syawal adalah Hari Raya Raya Aidilfitri. Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis Daerah Pntian, anggota PDRM Ibupejabat Polis Daerah Pontian dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Thursday, September 9, 2010

MAJLIS SERAH DAN TERIMA TUGAS JAWATAN KETUA POLIS NEGARA

Berita Harian, 9 September 2010

Tan Sri Musa Hasan (kiri) menyerahkan dokumen kepada Tan Sri Ismail Omar sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam (dua dari kiri) pada Majlis Serah dan Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, semalam.

Tan Sri Musa, 58, akan menamatkan perkhidmatannya selama 41 tahun bersama PDRM Ahad ini, selepas kerajaan memutuskan tidak menyambung kontrak perkhidmatannya yang sebelum ini dilanjutkan selama dua kali.

Difahamkan, beliau selepas ini akan memantau projek pembinaan Akademi Latihan Antarabangsa Langkawi (LITA), yang mengkhusus kepada latihan dalam bidang anti perdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pelbagai jenayah rentas sempadan lain.

Musa turut menasihatkan Ismail supaya bersedia menerima sebarang kritikan dan mengendalikannya dengan bijak tanpa menjejaskan integriti PDRM, selain tidak mudah tunduk atau menjadi `pak turut’ dalam melaksanakan tugas.

“Diharap semua agenda yang dirancang dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM sebelum ini diteruskan, ke arah usaha penambah baikan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan setiap pegawai dan anggota, terutama dalam memerangi jenayah, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat di negara ini,” katanya.


Friday, September 3, 2010

TAN SRI ISMAIL OMAR DILANTIK SEBAGAI KETUA POLIS NEGARA BERMULA 13 SEPTEMBER 2010

Harian Metro, 2 September 2010


PUTRAJAYA: Selepas 41 tahun menaburkan jasa dalam kerjaya kepolisan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, 59, bakal bergelar rakyat biasa pada 13 September ini apabila kontraknya tamat sehari sebelum itu dan jawatannya bakal disandang oleh Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Penamatan kontrak Musa dan pelantikan Ismail, 56, diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop di samping Musa dan Ismail.

Pada sidang media itu juga, Hishammuddin turut mengumumkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail bakal mengambil alih jawatan Ismail sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

“Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara adalah jawatan khas mengikut Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, cadangan lantikan ke jawatan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Tan Sri Musa selama 41 tahun dalam pasukan polis,” katanya.

Ketika ditanya tarikh pertemuan di antara Najib dan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenaan baginda berkaitan pelantikan Ketua Polis Negara yang baru, Hishammuddin berkata, perkara itu terserah kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, bila pertemuan itu akan diadakan tidak penting kerana pelantikan hanya akan berkuatkuasa selepas 12 September ini.

Mengulas penamatan kontrak Musa, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Musa akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya kepada negara khususnya untuk menerajui penubuhan Akademi Latihan bertaraf antara bangsa di Langkawi. Penubuhan akademi ini bertujuan menangani jenayah merentasi sempadan seperti jenayah siber, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram, anti pengganas, pengurusan krisis dan risiko.

Wednesday, August 18, 2010

PANGKAT-PANGKAT POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)

Polis Diraja Malaysia mempunyai 16 peringkat pangkat yang dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.

Kumpulan Pegawai Kanan Polis terbahagi kepada 2 kelompok di mana pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis ke atas diklasifikasikan sebagai Pegawai Polis Diwartakan manakala Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan Cif Inspektor pula dikenali sebagai Pegawai Polis Tidak Diwartakan. Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu Kumpulan Komisioner (ACP - IGP), Kumpulan Superintendan (ASP - SUPT) dan Kumpulan Inspektor (INSP - C/INSP).

Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor. Pangkat Korperal sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Subordinat.

Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-
Pegawai Kanan Polis
  1. Inspektor General Polis (IG)
  2. Deputi Inspektor General Polis (DIG)
  3. Komissioner Polis (CP)
  4. Deputi Komisioner Polis (DCP)
  5. Senior Asistan Komisioner I (SAC I)
  6. Senior Asistan Komisioner II (SAC II)
  7. Asistan Komisioner Polis (ACP)
  8. Superintendan Polis (SUPT.)
  9. Deputi Superintendan Polis (DSP)
  10. Asistan Superintendan Polis (ASP)
  11. Cif Inspektor (C/INSP)
  12. Inspektor (INSP)
  13. Inspektor Percubaan (P/I)

Pegawai Rendah Polis
  1. Sub-Inspektor (SI)
  2. Sarjan Mejar (SM)
  3. Sarjan (SJN)
  4. Koperal (KPL)
  5. Lans Koperal (L/KPL)
  6. Konstabel (KONST)


Saturday, August 14, 2010

PANDUAN PENCEGAHAN JENAYAH: RAGUT DAN PENYELUK SAKU

RAGUT DAN SELUK SAKU

Di manakah peragut dan penyeluk saku bertindak:
  • Peragut sering bertindak di jalan atau lorong yang gelap atau sunyi.
  • Lazimnya peragut menggunakan kenderaan seperti motorsikal atau kereta untuk melakukan kegiatan mereka.


Bagaimana ia boleh belaku:

  • Memakai barang-barang kemas yang sangat ketara dan mendedahkannya untuk tontonan orang ramai.
  • Membawa beg tangan dengan cara memudahkan peragut meragut.
  • Berebut-rebut semasa menaiki bas atau berada di tempat-tempat sibuk dan sesak.
  • Meninggalkan beg-beg yang berisi wang di kaunter pintu masuk pusat membeli-belah semasa masuk membeli-belah.
  • Menyimpan beg duit di kocek-kocek belakang yang tidak berbutang.


Langkah-langkah keselamatan dari ragut:

  • Sentiasa membawa wang secara minima.
  • Selindung wang daripada pandangan umum supaya tidak menarik perhatian penjenayah.
  • Sentiasa membimbit atau mengepit beg tangan dan tidak disangkut atau disandang pada baju supaya ia lebih sukar diragut dan jika diragut boleh mengelak dari berlaku kecederaan kerana diseret.
  • Elakkan dari berjalan seorang diri di tempat-tempat sunyi atau semasa menaiki lif.
  • Jangan mendedahkan barang-barang kemas yang dipakai.
  • Ketika berjalan di atas jalanraya, sentiasa berjalan secara bertentangan dengan arus lalulintas supaya dapat melihat apa jua kenderaan yang datang dari arah hadapan. Beg tangan pula dikepit atau dibimbit dengan tangan kanan.
  • Elakkan dari memakai barang-barang kemas secara berlebihan yang boleh menarik perhatian penjenayah.
  • Elakkan dari meletak beg tangan yang mudah dicapai oleh orang lain umpamanya di atas kaunter, di dalam bakul pasar dan sebagainya.
  • Memasang alat penggera pencegahan ragut pada beg tangan.

Sumber: PDRM

PAKAIAN SERAGAM AHLI KADET POLIS

Tatacara pemakaian uniform dan lencana-lencana ahli Kadet Polis.

BAJU
Baju kemeja potongan polis biasa berlengan pendek. Pegaai berpangkat Sarjan Mejar ke atas boleh memakai 'bush jacket' sebagai pilihan. Bagi ahli Kadet Wanita memakai 'bush jacket' berlengan panjang.

SELUAR
Seluar panjang

BERET POLIS
Semua ahli pasukan kadet polis dikehendaki memakai beret sebagai penutup kepala.

KAIN TUDUNG
Kadet wanita dibenarkan memakai tudung kepala berwarna baju sebagai pilihan. Pemakaiannya mestilah kemas dan bahagian bawah tudung hendaklah dimasukan ke dalam baju.

LENCANA POLIS
Lencana Polis Diraja Malaysia hendaklah dipakai pada beret dengan dilapik dengan pelapik biru muda (turquoise).

LENCANA BAHU
Lencana bahu kain berwarna biru muda yang bertulis warna putih 'KADET POLIS' hendaklah dipakai 3 cm di bawah lidah bahu baju kanan dan kiri bagi semua Pegawai Kanan dan anggota kadet.

TALI PINGGANGTali pinggang nilon berwarna biru gelap. Kepala tali pinggang berlambang Polis Diraja Malaysia.

BUTANG BAJU
Butang plastik warna baju berukuran sedang bagi APR/anggota dan butang logam bagi pegaai kanan.

KASUT
Kasut potong kulit bertali berwarna hitam.

WISEL
Sama seperti bentuk wisel polis.

SARUNG KAKI
Sarung kaki nilon berwarna hitam.

APULET
Pegawai Kanan memakai apulet berwarna biru/hitam.

LENCANA KOLAR
Dipakai dihujung kolar baju nan dan kiri bagi semua Pegawai Kanan dan ahli kadet.

LENCANA PANGKAT
Struktur dan bentuk pangkat bagi Pegawai Kanan Kadet sama dengan Pegawai Kanan Polis biasa. Bagai Pegawai Pangkat Rendah mengikut ukuran yang telah ditetapkan dan dipakai di kanan dan kiri lidah bahu baju.

LENCANA SEKOLAH
Lencana sekolah hendaklah dipakai di tengah-tengah poket sebelah kiri baju.

TANDA NAMA
Tanda nama berwarna hitam berukuran 2 cm x 7 cm hendaklah dipakai di atas poket sebelah kanan baju.

MAFLA
Penutup leher (mafla) berwarna muda hendaklah dipakai semasa perbarisan rasmi dan perbarisan perkhemahan tahunan.

WARNA PAKAIAN
Warna biru gelap sama seperti pakaian Polis Biasa.

REBEN
Pegawai dan anggota kadet dibenarkan memakai reben mengikut warna tahap kelulusan ujian yang telah ditetapkan di atas poket baju sebelah kiri.