Pengurus Penyelidikan Yadim
Utusan Malaysia 7 April 2010
SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU
MASYARAKAT dunia menyambut Hari Ibu pada setiap Ahad kedua dalam bulan Mei, setiap tahun. Tahun ini, sambutan Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Ibu adalah wanita yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam kitab suci al-Quran.
Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah: "Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah." Rasulullah bertanya: "Apakah ibumu masih hidup?" Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. "Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada." (Riwayat At-Thabrani)
Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka." (Surah al-Qasasb : 13)
Alangkah besarnya rahmat Allah SWT terhadap ibu. Dengan menjadi pengasuh dan menyusukan anak raja (Musa) itu, ibu Musa sekeluarga telah dihormati oleh seluruh penduduk Mesir. Pengorbanan ibu tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua pun. Ia melebihi daripada segala pengorbanan.
Ada satu kisah dan iktibar yang dipetik dari sebuah hadis Riwayat al-Bukhari iaitu kisah Juraij bersama ibunya yang menunjukkan betapa ampuhnya doa seorang ibu yang dekat dengan Allah SWT, doanya dikabulkan segera.
Atas dasar hadis-hadis itulah, umat Islam menyedari bahawa darjat ibu lebih tinggi daripada ayah dalam memperoleh pengabdian anak kepada diri masing-masing. Tidak diragukan bahawa ibu secara alamiah memiliki peranan yang cukup strategik dalam mendidik anak sejak kecil sehinggalah dewasa.
Syariat Sa'i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya. Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima.
Justeru itu, kita diperintahkan untuk memohon rahmat Ilahi yang tidak bertepi itu kepada kedua ibu bapa kita. Adalah wajar, kita memohon untuk kedua-duanya agar memperoleh lebih banyak daripada apa yang kita peroleh, membalas budi mereka melebihi budi mereka kepada kita. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka berdua.
Nyata dan jelas sebabnya mengapa Islam memberi penghormatan itu kepada wanita yang dipanggil ibu. Ia tidak lain kerana kedudukannya yang penting dan peranannya dalam setiap kehidupan manusia adalah amat besar. Wanita itulah yang menjadi sumber alam yang pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia setelah mereka keluar dari alam zuriat.
Ibnu Batutta menyatakan seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.
Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Al-Qurtubi juga menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anak-anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan.
Namun begitu, ibu tidak akan dapat menikmati kebaikan, kasih sayang dan penghargaan daripada anaknya, sekiranya dia gagal mendidik dan membimbing anak-anak dengan sempurna mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oleh syarak. Menghormati ibu, mentaati, sedia berkhidmat kepadanya, tidak mengingkari perintahnya kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak, adalah menjadi sebab seseorang itu dapat masuk ke syurga.
No comments:
Post a Comment