TUNKU ABDUL JALIL memberi arahan pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis, semalam. |
“Di mana pun saya dihantar bertugas, saya akan terima walaupun di kawasan kampung tetapi mungkin pada peringkat awal ini, saya akan berada di Johor dulu,” kata Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang tamat latihan Inspektor Percubaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Beliau berkata, kerjaya polis memang diminatinya sejak kecil, malah menghargai khidmat diberi anggota polis untuk kerabat diraja, rakyat dan negara sejak sekian lama.
Berikutan itu, katanya, sudah tiba masanya PDRM mendapat tumpuan dan sokongan daripada kerabat diraja pula.
“Sejak kecil, saya ingin menjadi polis, tetapi hanya pada usia 22 tahun dan selepas tamat pengajian dalam bidang zoologi dan konservasi dari universiti di United Kingdom (UK), barulah saya mampu menjadikannya kenyataan.
“Sepanjang menjalani latihan, cabaran paling sukar dihadapi adalah bersabar kerana setiap kesalahan yang kami lakukan akan dikenakan hukuman. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berupaya mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama pasukan,” katanya.
Tunku Abdul Jalil mengetuai 959 pelatih Inspektor yang lain, sebagai Pegawai Pemerintah Baris dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Inspektor Siri 1 Tahun 2011, di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, semalam.
Upacara pentauliahan dirasmikan Sultan Johor ini turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Sultan Johor menyampaikan Sijil Tamat Latihan Asas dan hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan, V Vijay, Anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Masna Syamsul dan Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Firdaus Alshaari dan Nor Nazahiyah Mohamad.
Sementara itu, Ismail berkata, Latihan Asas Inspektor Percubaan kali ini yang pertama dalam sejarah kepolisan negara dengan 960 pelatih Inspektor Percubaan menjalani latihan serentak dalam satu sesi.
Beliau turut memberi ingatan kepada pelatih mengenai cabaran utama dihadapi PDRM masa kini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat.
Sumber: Berita Minggu, 8 Januari 2012
No comments:
Post a Comment