Sumber: Utusan Malaysia 25 Mac 2011
Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut Peringatan Hari Polis Ke-204 yang bukan sahaja bermakna untuk seluruh warganya, tetapi juga buat Ketua Polis Negara, TAN SRI ISMAIL OMAR yang baru lima bulan memegang jawatan nombor satu organisasi itu.
Dalam wawancara khas sempena sambutan itu bersama wartawan Utusan Malaysia, SHARILFUDDIN SAARI kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ismail meluahkan harapannya untuk melihat PDRM agar terus menjadi sebuah agensi terulung dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara.
Sempena hari penting buat warga pasukan itu, beliau juga mahukan seluruh anggota dan pegawainya agar menghayati sepenuhnya konsep 4P secara berintegriti dan menjayakan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM 2011-2015 yang turut dilancarkan hari ini.
UTUSAN MALAYSIA: Apakah cabaran Tan Sri ketika mengambil alih tugas sebagai KPN pada September 2010?
ISMAIL: Ketika saya mengambil alih tugas pucuk pimpinan, masih kedengaran kononnya negara tidak selamat dan kadar jenayah yang tinggi. Maka kerajaan telah jadikan isu jenayah sebagai agenda nasional menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Melalui usaha strategik dan agresif PDRM, indeks jenayah negara dikurangkan kepada 15 peratus manakala kadar jenayah jalanan, 35 peratus. Justeru, cabaran saya ketika memegang jawatan KPN adalah meneruskan usaha mengurangkan jenayah ini agar rakyat merasa selesa, aman dan tenteram.
Selain itu, saya berhadapan dengan persaraan empat pengarah PDRM yang mana saya terpaksa kenal pasti penggantinya, menstruktur semula organisasi seterusnya melibatkan sejumlah kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan.
Apakah strategi digunakan Tan Sri untuk mengurangkan jenayah?
Kita akan teruskan konsep omnipresence atau kehadiran polis seperti dilaksanakan pada 2010. Pada tahun lalu, sebanyak 7,400 anggota polis yang tidak terlibat mencegah jenayah dikerah membantu operasi.
Namun tahun ini, pelbagai usaha telah diambil dengan mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjaga sempadan membantu tugas-tugas itu di empat bandar utama iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Sehingga kini, kita telah melihat kesan yang positif apabila kadar jenayah telah dapat dikawal dengan baik.
Kita juga menggunakan konsep Payung seperti balai polis bergerak di Selangor sebagai satu lagi strategi untuk menunjukkan kehadiran polis. Selain itu, PDRM akan teruskan usaha dekati rakyat dengan semua golongan masyarakat dan menggalakkan ketua-ketua polis daerah adakan interaksi dengan penduduk di bandar atau luar bandar.
Bagaimana dari aspek pembangunan fizikal dan logistik pasukan?
PDRM melihat keperluan logistik begitu penting bagi menjadikan pasukan sebagai agensi utama menjaga keselamatan negara. Oleh itu, kita akan menambah balai-balai polis malah mewujudkan bas-bas dan van sebagai balai polis bergerak di seluruh negara. Ia strategi untuk meningkatkan kehadiran polis di kalangan masyarakat.
Apakah perkara paling dititikberatkan Tan Sri ketika menjawat jawatan nombor satu PDRM?
Harapan rakyat pada masa kini adalah tinggi kerana mereka tahu hak masing-masing selain faktor kemajuan teknologi maklumat (IT). Ketika memegang jawatan KPN, saya amat menekankan kepantasan siasatan kerana rakyat mahu penjenayah segera ditangkap dan dihukum.
Walaupun PDRM mencapai kadar penyelesaian kes yang tinggi iaitu 40 peratus tahun lalu, tetapi tidak bermakna jika siasatan mengambil masa lama. Jenayah merentas sempadan juga perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan banyak individu, sindiket atau negara malah jumlah kerugian yang tinggi.
Mengapakah Tan Sri menekankan konsep 4P – ‘Protective’ (Melindungi), ‘Performance’ (Berprestasi), ‘Proactive’ (Proaktif) dan ‘People Oriented’ (Berorientasikan Masyarakat)?
Ia ditekankan kerana mampu mengubah PDRM ke tahap lebih tinggi dalam banyak aspek. Konsep itu menekankan pembangunan modal insan selain prestasi kerja dan sifat-sifat penting perlu ada pada polis.
Bagaimana Tan Sri menangani rungutan dan kemarahan orang ramai berhubung perkhidmatan polis?
Dalam hal ini, saya menyeru warga PDRM agar meningkat mutu perkhidmatan melalui komitmen yang tinggi, integriti, berhemah, tegas dan ‘lembut’ bila perlu serta mengikuti konsep 4P.
Saya yakin jika ia dilakukan, tahap keyakinan orang ramai terhadap pasukan bertambah dan pastinya rakyat akan menyanjung PDRM seperti mana hala tuju kita. Walaupun mungkin kita lambat selesaikan kes-kes jenayah, jika kita tunjukkan kesungguhan, rakyat tetap yakin.
Apakah maklum balas rakyat terhadap strategi dilaksanakan PDRM?
Kita telah buat survey baru-baru ini dan dapati keyakinan orang ramai terhadap PDRM sejak lima bulan lalu semakin bertambah. Kita akan teruskan usaha ini untuk tambah lagi keyakinan rakyat.
Antara perkara yang mendapat keyakinan rakyat adalah tentang layanan polis ketika menerima laporan selain kecekapan pegawai penyiasat (IO).
Sebagai contoh, di Kuala Lumpur kita telah dapat bertindak antara 10 dan 12 minit dalam kes-kes jenayah. Selain itu, semakin banyak kes yang dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan 48 jam di seluruh negara.
Boleh Tan Sri jelaskan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM?
Pelan strategik lima tahun sebelum ini akan berakhir pada April ini dan digantikan dengan yang baru bermula pada 2011 sehingga 2015.
Sebanyak lapan teras dikenal pasti iaitu bagi memastikan rakyat hidup selamat, pencapaian, pengurusan kewangan berhemah, pencegahan jenayah secara inovasi, berorientasikan perkhidmatan, kecemerlangan operasional, tanggungjawab sosial serta korporat yang baik dan tenaga kerja yang mahir, bermotivasi dan inovasi.
Apakah pesanan Tan Sri kepada semua warga PDRM sempena Peringatan Hari Polis Ke-204?
Saya meminta semua warga PDRM menghayati peranan pasukan dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara, termasuk pelabur luar dan pelancong. Ini perlu dilakukan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), konsep 4P yang berteraskan integriti.
No comments:
Post a Comment