Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Wednesday, March 30, 2011

MESYUARAT PENGURUSAN KALI PERTAMA KOR KADET POLIS PONTIAN 2011

Pada hari Rabu 30 Mac 2011 diadakan mesyuarat pengurusan Kor Kadet Polis Pontian. Mesyuarat diadakan di Kamar Kencana, SMK Telok Kerang tepat pukul 3.00 petang. 17 daripada 18 wakil sekolah hadir dalam mesyuarat itu. ASP Hj Othman Bin Abdullah dan Sjn. Sabari dari IPD Pontian turut hadir.

Di antara perkara-perkara yang dibincangkan:
  1. Kor Kadet Polis Pontian akan menghantar guru-guru dan ahli-ahli untuk menyertai program peringkat negeri dan kebangsaan jika dikehendaki berbuat demikian.
  2. Hari Kadet Polis - Tarikh pada 18 April 2011 pukul 3.00 petang. Penyediaan tempat diberi kepada SMK Telok Kerang. Pegawai baris juga dari SMK Telok Kerang. Kawalan Kehormatan ditugaskan kepada SMK Dato' Ali Hj Ahmad, SMA Maahad dan Sek. Tinggi Pei Chun. Semua sekolah dikegendaki menghantar 19 ahli sebagai detachment.
  3. Perkhemahan di Taman Negara Tanjung Piai - Tahun ini berkhemah di dalam daerah iaitu di Taman Negara Tanjung Piai. Dibuat pada bulan Jun dari hari Jumaat hingga hari Ahad. Pada perkhemahan ini juga pentarafan pangkat sarjan dan koperal akan dilakukan. Semua sekolah dikehendaki turut serta. Antara aktivitinya ialah pertandingan-pertandingan kawad kaki, tapak perkhemahan, larian lasak, memasak dalam perkhemahan, sukan dan permainan kecil, malam kebudayaan, nyanyian patriotik, penyucian rohani ke arah insan madani, mencipta pantun dan xploria.
  4. Perasmian IPD Pontian - Tuan Othman menyatakan bahawa guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis akan diminta menyertai program perasmian IPD Pontian iaitu pada bulan Jun. Perasmian akan disempurnakan oleh Ke bawah Duli Tuanku Sultan Johor.
  5. Pertandingan Perbarisan hari Kemerdekaan Daerah Pontian - Sebagai lazimnya pada setiap tahun, pasukan Kadet Polis akan menyertai pertandingan perbarisan tersebut bagi kategori badan beruniform.
  6. Lain-lain aktiviti seperti latihan rutin, lawatan, latihan menembak, dan pertandingan kawad kaki GO diuruskan sendiri oleh sekolah-sekolah.
  7. Guru-guru yang belum ada uniform diminta mohon kain uniform di IPD Pontian. Kos lain dinggung sendiri oleh guru-guru.
  8. Perlantikan seorang bendahari baru dan dua orang juru audit.
  9. Pengagihan uniform Kadet Polis kepada semua sekolah selepas mesyuarat. 

Saturday, March 26, 2011

ASP KP HASAN KASMURI PENERIMA SIJIL JUARA PENUH DISIPLIN KATEGORI PEGAWAI KANAN KADET POLIS KONTINJEN JOHOR 2011

Ketua Kor Kadet Polis Pontian, ASP KP Hasan Kasmuri dinobatkan sebagai Juara Penuh Disiplin Kategori Pegawai Kanan Kadet Polis Kontinjen Johor. Sijil tersebut diterima oleh beliau pada Peringatan Hari Polis Ke-204 Kontinjen Johor yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Johor, Datul Jalaluddin Abdul Rahman. Peringatan Hari Polis Kontinjen Johor telah di adakan pada pagi Jumaat 25 Mac 2011 di perkarangan Danga Bay, Johor Bahru. Tahniah diucapkan kepada ASP KP Hasan Kasmuri, IPD Pontian, PPD Pontian, dan guru-guru Kadet Polis serta ahli-ahli Kadet Polis Pontian.

 










Friday, March 25, 2011

MENINGKATKAN INTEGRITI PASUKAN POLIS

Sumber: Utusan Malaysia 25 Mac 2011


Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut Peringatan Hari Polis Ke-204 yang bukan sahaja bermakna untuk seluruh warganya, tetapi juga buat Ketua Polis Negara, TAN SRI ISMAIL OMAR yang baru lima bulan memegang jawatan nombor satu organisasi itu.

Dalam wawancara khas sempena sambutan itu bersama wartawan Utusan Malaysia, SHARILFUDDIN SAARI kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ismail meluahkan harapannya untuk melihat PDRM agar terus menjadi sebuah agensi terulung dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara.

Sempena hari penting buat warga pasukan itu, beliau juga mahukan seluruh anggota dan pegawainya agar menghayati sepenuhnya konsep 4P secara berintegriti dan menjayakan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM 2011-2015 yang turut dilancarkan hari ini.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah cabaran Tan Sri ketika mengambil alih tugas sebagai KPN pada September 2010?

ISMAIL: Ketika saya mengambil alih tugas pucuk pimpinan, masih kedengaran kononnya negara tidak selamat dan kadar jenayah yang tinggi. Maka kerajaan telah jadikan isu jenayah sebagai agenda nasional menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Melalui usaha strategik dan agresif PDRM, indeks jenayah negara dikurangkan kepada 15 peratus manakala kadar jenayah jalanan, 35 peratus. Justeru, cabaran saya ketika memegang jawatan KPN adalah meneruskan usaha mengurangkan jenayah ini agar rakyat merasa selesa, aman dan tenteram.

Selain itu, saya berhadapan dengan persaraan empat pengarah PDRM yang mana saya terpaksa kenal pasti penggantinya, menstruktur semula organisasi seterusnya melibatkan sejumlah kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan.

Apakah strategi digunakan Tan Sri untuk mengurangkan jenayah?

Kita akan teruskan konsep omnipresence atau kehadiran polis seperti dilaksanakan pada 2010. Pada tahun lalu, sebanyak 7,400 anggota polis yang tidak terlibat mencegah jenayah dikerah membantu operasi.

Namun tahun ini, pelbagai usaha telah diambil dengan mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjaga sempadan membantu tugas-tugas itu di empat bandar utama iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Sehingga kini, kita telah melihat kesan yang positif apabila kadar jenayah telah dapat dikawal dengan baik.

Kita juga menggunakan konsep Payung seperti balai polis bergerak di Selangor sebagai satu lagi strategi untuk menunjukkan kehadiran polis. Selain itu, PDRM akan teruskan usaha dekati rakyat dengan semua golongan masyarakat dan menggalakkan ketua-ketua polis daerah adakan interaksi dengan penduduk di bandar atau luar bandar.

Bagaimana dari aspek pembangunan fizikal dan logistik pasukan?

PDRM melihat keperluan logistik begitu penting bagi menjadikan pasukan sebagai agensi utama menjaga keselamatan negara. Oleh itu, kita akan menambah balai-balai polis malah mewujudkan bas-bas dan van sebagai balai polis bergerak di seluruh negara. Ia strategi untuk meningkatkan kehadiran polis di kalangan masyarakat.

Apakah perkara paling dititikberatkan Tan Sri ketika menjawat jawatan nombor satu PDRM?

Harapan rakyat pada masa kini adalah tinggi kerana mereka tahu hak masing-masing selain faktor kemajuan teknologi maklumat (IT). Ketika memegang jawatan KPN, saya amat menekankan kepantasan siasatan kerana rakyat mahu penjenayah segera ditangkap dan dihukum.

Walaupun PDRM mencapai kadar penyelesaian kes yang tinggi iaitu 40 peratus tahun lalu, tetapi tidak bermakna jika siasatan mengambil masa lama. Jenayah merentas sempadan juga perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan banyak individu, sindiket atau negara malah jumlah kerugian yang tinggi.

Mengapakah Tan Sri menekankan konsep 4P – ‘Protective’ (Melindungi), ‘Performance’ (Berprestasi), ‘Proactive’ (Proaktif) dan ‘People Oriented’ (Berorientasikan Masyarakat)?

Ia ditekankan kerana mampu mengubah PDRM ke tahap lebih tinggi dalam banyak aspek. Konsep itu menekankan pembangunan modal insan selain prestasi kerja dan sifat-sifat penting perlu ada pada polis.

Bagaimana Tan Sri menangani rungutan dan kemarahan orang ramai berhubung perkhidmatan polis?

Dalam hal ini, saya menyeru warga PDRM agar meningkat mutu perkhidmatan melalui komitmen yang tinggi, integriti, berhemah, tegas dan ‘lembut’ bila perlu serta mengikuti konsep 4P.

Saya yakin jika ia dilakukan, tahap keyakinan orang ramai terhadap pasukan bertambah dan pastinya rakyat akan menyanjung PDRM seperti mana hala tuju kita. Walaupun mungkin kita lambat selesaikan kes-kes jenayah, jika kita tunjukkan kesungguhan, rakyat tetap yakin.

Apakah maklum balas rakyat terhadap strategi dilaksanakan PDRM?

Kita telah buat survey baru-baru ini dan dapati keyakinan orang ramai terhadap PDRM sejak lima bulan lalu semakin bertambah. Kita akan teruskan usaha ini untuk tambah lagi keyakinan rakyat.

Antara perkara yang mendapat keyakinan rakyat adalah tentang layanan polis ketika menerima laporan selain kecekapan pegawai penyiasat (IO).

Sebagai contoh, di Kuala Lumpur kita telah dapat bertindak antara 10 dan 12 minit dalam kes-kes jenayah. Selain itu, semakin banyak kes yang dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan 48 jam di seluruh negara.

Boleh Tan Sri jelaskan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM?

Pelan strategik lima tahun sebelum ini akan berakhir pada April ini dan digantikan dengan yang baru bermula pada 2011 sehingga 2015.

Sebanyak lapan teras dikenal pasti iaitu bagi memastikan rakyat hidup selamat, pencapaian, pengurusan kewangan berhemah, pencegahan jenayah secara inovasi, berorientasikan perkhidmatan, kecemerlangan operasional, tanggungjawab sosial serta korporat yang baik dan tenaga kerja yang mahir, bermotivasi dan inovasi.

Apakah pesanan Tan Sri kepada semua warga PDRM sempena Peringatan Hari Polis Ke-204?

Saya meminta semua warga PDRM menghayati peranan pasukan dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara, termasuk pelabur luar dan pelancong. Ini perlu dilakukan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), konsep 4P yang berteraskan integriti.

PERINGATAN HARI POLIS KE-204 KONTINJEN JOHOR

Pagi tadi bertempat di Danga Bay telah disempurnakan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-204 Kontinjen Johor. Majlis tersebut telah disempurnakan dengan jayanya oleh Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Perbarisan dimulakan oleh Pasukan Kawalan Kehormatan yang disertai bersama oleh detechmen yang terdiri daripada unit-unit dalam PDRM, pegawai am, Suksis, Kadet Polis dan penerima sijil-sijil penghargaan. Turut hadir adalah ketua-ketua jabatan, ahli Kepolisan Komuniti dan para jemputan lain.

Amanat Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar telah dibacakan oleh Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Dalam perbarisan ini  seramai enam pegawai dan anggota polis negeri Johor menerima Sijil Penghargaan Juara Penuh Disiplin Peringkat Kontinjen Tahun 2011.  Empat anggota dan pegawai menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara, Sijil Penghargaan Pengarah Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Bukit Aman (enam) dan Sijil Penghargaan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman (seorang).

Selain itu, seorang pegawai menerima sijil penghargaan Pegawai Kadet Polis Cemerlang, Ahli Kadet Polis Cemerlang (seorang), Anggota Sukarelawan Polis Cemerlang (seorang), Perkhidmatan Cemerlang Pegawai Am (tiga), dan Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor (75).

Di kawasan perbarisan juga  diadakan pameran oleh unit-unit dalam PDRM. Unik dan menariknya pameran tersebut kerana ia diadakan dalam rumah-rumah limas Johor di kawasan Danga Bay yang sudah gah dan terkenal itu.

Selamat menyambut Peringatan Hari Polis.

Foto-foto pada Peringatan Hari Polis Ke-204 Kontinjen Johor pada pagi Jumaat 25 Mac 2011 di Danga Bay.





















Thursday, March 24, 2011

LAGU-LAGU KADET POLIS DAN PDRM

Dalam blog ini kami usahakan memasukkan lagu Kadet Polis dan lagu-lagu PDRM yang sering dinyanyikan atau diikuti oleh ahli-ahli Kadet Polis. Silalah klik saja di sebelah sidebar. Kemungkinan ada kekurangan dari segi kualiti bunyi. Kami mohon maaf.