PUTRAJAYA: Selepas 41 tahun menaburkan jasa dalam kerjaya kepolisan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, 59, bakal bergelar rakyat biasa pada 13 September ini apabila kontraknya tamat sehari sebelum itu dan jawatannya bakal disandang oleh Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.
Penamatan kontrak Musa dan pelantikan Ismail, 56, diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop di samping Musa dan Ismail.
Pada sidang media itu juga, Hishammuddin turut mengumumkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail bakal mengambil alih jawatan Ismail sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
“Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara adalah jawatan khas mengikut Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, cadangan lantikan ke jawatan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Tan Sri Musa selama 41 tahun dalam pasukan polis,” katanya.
Ketika ditanya tarikh pertemuan di antara Najib dan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenaan baginda berkaitan pelantikan Ketua Polis Negara yang baru, Hishammuddin berkata, perkara itu terserah kepada Perdana Menteri.
Menurutnya, bila pertemuan itu akan diadakan tidak penting kerana pelantikan hanya akan berkuatkuasa selepas 12 September ini.
Mengulas penamatan kontrak Musa, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Musa akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya kepada negara khususnya untuk menerajui penubuhan Akademi Latihan bertaraf antara bangsa di Langkawi. Penubuhan akademi ini bertujuan menangani jenayah merentasi sempadan seperti jenayah siber, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram, anti pengganas, pengurusan krisis dan risiko.
No comments:
Post a Comment