Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Sunday, August 8, 2010

PUPUK NILAI MURNI BENDUNG GEJALA SOSIAL

Mingguan Malaysia, 8 Ogos 2010





MUHYIDDIN Yassin menguji senjata automatik F5 ketika merasmikan Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di IKBN Pagoh, Johor, semalam.Turut sama Musa Hassan dan Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.





MUAR 7 Ogos - Kerjasama pintar antara institusi-institusi sosial dalam masyarakat perlu ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam usaha membendung jenayah dan gejala sosial termasuk masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa ketika ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, institusi tersebut seperti pendidikan, ekonomi, agama dan politik penting untuk menggembleng tenaga untuk tujuan berkenaan dan tanggungjawab itu tidak boleh disandarkan kepada institusi kekeluargaan semata-mata.

"Kita tidak mahu apabila negara mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020, sebaliknya kita mempunyai masyarakat yang pincang budaya dan institusi sosial yang porak-peranda," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Murni Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini hari ini. Hadir sama adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.


Muhyiddin berkata, terjebaknya generasi muda dalam gejala dadah, mat rempit, pembuangan bayi, judi, ah long, kongsi gelap, arak dan gangsterisme adalah perlakuan songsang yang semakin bertambah akibat kebanyakan norma dan nilai budaya yang didukung institusi sosial tidak lagi dipatuhi. Ini kerana, secara idealnya, kebudayaan dalam masyarakat telah menggariskan pola perlakuan yang betul, baik, salah, buruk, berfaedah atau tidak iaitu jika nilai-nilai ini diikuti maka pelbagai masalah dan konflik akan dapat diatasi. Justeru, beliau berpendapat, penyelesaian kepada kepincangan masyarakat itu dapat ditangani apabila setiap anggota masyarakat menitikberatkan nilai murni yang terdapat dalam semua agama.


"Nilai-nilai murni di sebalik pelaksanaan al-Ta'dib dalam Islam secara umumnya adalah menjaga kemaslahatan nasab dan keturunan manusia seperti kemuliaan budi pekerti dan bertanggungjawab, memupuk sikap telus dan terbuka, memupuk budaya saling nasihat menasihati dan sikap prihatin dan kasih sayang dalam keluarga," jelasnya.


Dalam tamadun China pula sebagai contoh, katanya, amat menekankan soal nilai murni dan moral yang baik, berfalsafah, ilmu, pendidikan, politik, seni dan sastera sebagaimana yang terdapat dalam buku Lun Yu iaitu pengajaran utama Confusius yang diamalkan oleh kaum itu.


Sementara itu, beliau memuji kejayaan polis menurunkan kadar jenayah dan ia dapat dicapai dengan kerjasama anggota masyarakat dengan pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment