Assalamu'alaikum dan salam sejahtera............Selamat datang ke blog Kadet Polis Pontian............Tegas, adil dan berhemah............Integriti amalan kita............25 Mac, Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-205...........Selamat Hari Polis............"Komuniti Sejahtera Komitmen Kami"

Sunday, March 25, 2012

HARIMAU BIRU MASKOT PDRM


Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung-julng kalinya memperkenalkan Harimau Biru sebagai maskot rasmi pasukan itu sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Dataran Merdeka.

Pelancaran maskot tersebut disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bersama lebih 10,000 pegawai, anggota polis serta orang awam.

Pemilihan maskot itu melambangkan integriti pasukan tersebut yang berani dalam menjalankan tugas serta amanah untuk menjaga keamanan negara.

Saturday, March 24, 2012

KETUA POLIS NEGARA: UBAH PERSEPSI PADA POLIS

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan dengan memantapkan kualiti perkhidmatan demi kepuasan orang ramai, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata persepsi sesetengah masyarakat terhadap perkhidmatan polis yang didakwa tidak "memuaskan" perlu ditangani bagi menjaga kredibiliti pasukan yang telah wujud sejak 205 tahun lalu.

"Usaha menangani persepsi bermula dari akar umbi, dan anggota yang berdepan dengan orang ramai atau 'frontliners' mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Dataran Merdeka.

Tan Sri Ismail Omar berkata amalan integriti dalam diri setiap pegawai dan anggota polis akan menyerlahkan lagi sifat profesionalisme malah gandingan kedua-dua sifat itu, yang juga merupakan "magna carta" PDRM, akan berjaya meningkatkan lagi persepsi positif masyarakat terhadap pasukan tersebut.

Beliau berkata PDRM amat mengalu-alukan semangat 'voluntarisme' di kalangan belia, penduduk kawasan perumahan, masyarakat sivil, penjawat awam dan sektor awam yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada polis dalam membanteras jenayah serta menjaga keharmonian rakyat.

Tan Sri Ismail Omar berkata beberapa langkah awal telah dimulakan di ibu kota untuk mengimplementasi projek 'World Class Policing' untuk menjadikan Kuala Lumpur tersenarai dalam Global Top 20 sebagai bandar yang sesuai didiami menjelang tahun 2020.

"Sasaran PDRM ialah untuk menyediakan sistem keselamatan dan infrastruktur bertaraf antarabangsa dapat direalisasikan. Ini adalah sebahagian inisiatif penjenamaan semula PDRM untuk mencapai matlamat transformasi polis agar setaraf dengan agensi kepolisan di negara maju," katanya.

Beliau juga berkata tema "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" untuk sambutan Hari Polis kali ini dianggap satu ikrar untuk memperbaharui iltizam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat secara cekap dan berkesan.

SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-205 - JASA SANG SAKA BIRU



 
"Sedia Berkhidmat"

Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat

Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat

[korus]
Tanda lekat di lengan
Polis dengan preman
Tangan bersalaman
Alamat persahabatan

Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat 

INI adalah satu lagu yang bersemadi dalam jiwa setiap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain alunan Sang Saka Biru pada perbarisan atau perhimpunan pagi di peringkat kontinjen, daerah atau balai, sekali gus menjadi senjata utama menaikkan semangat di kalangan anggota melaksanakan tugas secara amanah dan berhemah.

Kini PDRM sudah berusia 205 tahun, tetapi masih ada pihak mempertikaikan kemahiran dan kredibilitinya konon tidak berpuas hati ‘itu dan ini’ dalam perkhidmatan yang diberikan. Apapun selepas satu demi satu penambahbaikkan dalam pasukan itu dilakukan, terutama dari segi penyiasatan, perkhidmatan kaunter, kemahiran berkomunikasi serta disiplin yang akhirnya membawa Malaysia menduduki tangga ke-19 daripada 153 negara paling selamat di dunia.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar tidak pernah mendabik dada sebaliknya memberitahu, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk orang ramai yang sedia menjadi mata dan telinga pihak berkuasa berkenaan.

Pencapaian diiktiraf secara global menerusi Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 yang diumumkan tahun lalu itu sebenarnya turut membuka lembaran baru yang mengundang kemasukan komuniti antarabangsa melabur dengan jumlah pelaburan asing tahun lalu mencecah RM33 bilion.

Selain isu keselamatan, warga Sang Saka Biru turut mengharumkan nama negara apabila diiktiraf sebagai pasukan polis yang terbaik di dunia selepas mereka memberi pencapaian dalam menyelesaikan 73,281 daripada 198,622 kes (bersamaan 36.89%) yang direkodkan pada 2006. Ia adalah satu tahap yang jauh melebihi piawaian Interpol iaitu 20 peratus daripada kes jenayah yang direkodkan setiap tahun dan ia mengatasi piawaian antarabangsa sebanyak dua kali berturut-turut, di mana pada tahun 2005, PDRM berjaya menyelesaikan 76,284 daripada 157,459 kes (48.45%).

Ismail semalam memberitahu, PDRM sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik setanding pasukan polis lain di dunia dan untuk itu, mereka sedang meneliti ‘best practice’ berkaitan kepolisan untuk diimplimentasikan dalan penugasan harian PDRM. Kita juga melaksanakan strategi lautan biru melalui kolaborasi dengan rakan strategik seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rela serta pihak berkuasa tempatan (PBT) selain Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis bantuan.

Selaras dengan slogan Tegas, Adil dan Berhemah selain lencana Integriti Amalan Kita yang disemat di dada, masalah rasuah di kalangan pegawai dan anggota PDRM mula jernih dan hanya satu peratus daripada kira-kira 100,000 anggotanya terbabit dalam gejala itu.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan berkata, walaupun jumlah itu kecil, jika dibiarkan ia akan merebak lebih besar seperti mana penyakit kanser jika tidak dikawal. Bagaimanapun, beliau melahirkan sedikit rasa kecil hati kerana pasukan diketuainya itu sering menerima tohmahan daripada pelbagai pihak sedangkan ia masih boleh dikawal dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Apa yang kita kesalkan orang bercakap macam banyak laporan (rasuah) yang dilakukan anggota kita (PDRM). Ini tidak baik,” katanya.

Bagaimanapun beliau akan berusaha memastikan budaya rasuah di kalangan warga PDRM lenyap sama sekali dan menyeru pelbagai pihak, terutama masyarakat agar bekerjasama dengan bukan saja melaporkan jika ada kegiatan rasuah di kalangan anggotanya, malah menghentikan pemberian rasuah.

Setakat ini peranan Pegawai Jabatan Tatatertib (PTT) (ditubuhkan sejak 1980-an dengan memakai reben merah pada uniform polis dilihat mampu mengekang pembabitan anggota polis dengan gejala rasuah.

Arahan Ismail kepada semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah seluruh negara supaya turun padang lebih kerap ke kawasan tumpuan ramai bagi membuat penilaian serta mendapatkan maklum balas berhubung tahap keselamatan semasa tepat pada masanya. Bukan saja anggota dan pegawai perlu berbuat demikian, mereka sewajarnya mengambil usaha bermesra dengan orang ramai, termasuk memiliki akaun facebook. Zaman duduk di pejabat saja sudah berlalu, malah dengan membuka akaun facebook ternyata memudahkan orang ramai mendekati PDRM.

Bagi Ismail, perubahan perkembangan semasa dan gaya hidup masyarakat hari ini menuntut PDRM turut sama berubah dalam melaksanakan tugasan harian bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai.

“Adalah penting Ketua Polis Negeri dan Daerah menilai di mana lokasi kurang penempatan anggota atau yang memerlukan lebih pemerhatian, kalau perlu kenalah tambah (anggota) dan memang kalau boleh kita nak semua tempat (tambah anggota), tetapi kawasan luas dan banyak kekangan lain, jadi kena guna kreativiti. Saya minta Ketua Polis Daerah tak kerja macam dulu lagi, kena turun padang. Dalam sebulan mesti ada tempoh beberapa jam (ke lokasi tumpuan ramai),” katanya.

Bagi penulis, pengalaman selama 16 tahun bergelumang dalam ‘dunia kepolisan’ sebagai wartawan jenayah sangat bertuah dapat melihat PDRM melakukan transformasi semata-mata untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara.

PDRM kini sudah mengambil pelbagai pendekatan untuk membanteras jenayah. Ia bukan saja memerlukan peralatan canggih, malah kepercayaan dan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat.

Maka, sambutan Hari Polis ke-205 bakal menampilkan kelainan apabila diadakan di Dataran Merdeka malam ini dan bukan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) seperti kebiasaannya.

Dataran Merdeka dipilih bagi membolehkan sambutan hari bersejarah pasukan keselamatan itu dimulakan dengan melakukan kiraan sebelum detik 12 malam bertemakan Komuniti Sejahtera Komitmen Kami. Antara acara diadakan ialah perarakan, pertunjukan dan pameran yang disertai anggota pelbagai jabatan dalam PDRM di seluruh negara.

“Ini adalah satu cara agar polis dapat lebih dekat dengan masyarakat. Saya amat berharap agar orang ramai, termasuk semua bekas polis, akan hadir pada malam itu nanti,” katanya.

Pastinya orang ramai akan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan mereka serta turut melakukan kiraan ‘countdown’ sama seperti acara menyambut tahun baru.

Sementara itu, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin dalam satu majlis turut memuji anggota PDRM yang mewujudkan budaya baru dan sihat di kalangan mereka kerana golongan itu sendiri melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ditawarkan rasuah oleh masyarakat.

“Pada tahun lepas seramai 157 anggota polis melaporkan mereka ditawarkan rasuah,” katanya.

Pembabitan semua anggota daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Siasatan Jenayah diketuai Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Datuk Syed Ismail Syed Azizan), Jabatan Pengurusan (Datuk Mortadza Nazarene), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Datuk Noor Rashid Ibrahim), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam ( Datuk Salleh Mat Rasid), Cawangan Khas (Datuk Seri Akhil Bulat), Jabatan Logistik (Datuk Zulkifli Abdullah dan Jabatan Petugas Khas (Datuk Mohamad Fuzi Harun) adalah pemangkin kepada kemakmuran negara.

Sumber: Harian Metro

Tuesday, March 20, 2012

SELAMAT MENYAMBUT PERINGATAN HARI POLIS KE-205

   

Kami mengucapkan Selamat Menyambut Peringatan Hari Polis Ke-205 kepada semua warga PDRM yang telah berkhidmat dan sedang berkhidmat. Jasa tuan-tuan menjaga keamanan dan keselamatan negara yang sangat kita cintai amat besar ertinya kepada kami. Terima kasih, tahniah dan syabas atas sumbangan tuan-tuan.

Sempena sambutan tersebut, marilah datang beramai-ramai ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk bersama-sama menyambut hari tersebut. Pelbagai acara dan persembahan menarik telah disediakan. Di antaranya pameran PDRM, pertunjukan khas PDRM, persembahan hiburan di samping pelancaran maskot PDRM dan lain-lain aturcara yang diaturkan khas untuk tatapan umum.

Luangkan masa kita untuk turut serta bersama warga PDRM bagi memeriahkan lagi sambutan Peringatan Hari Polis pada tahun ini. JUMPA ANDA DI SANA!

Lokasi : Dataran Merdeka
Masa : 10.00 Pagi ke 1.00pagi
Tarikh: 24 Mac 2012